AJK masjid, surau dipecat jika benar penceramah tanpa tauliah - Utusan Malaysia

AJK masjid, surau dipecat jika benar penceramah tanpa tauliah

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR berkenan merasmikan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Semua ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau akan dipecat sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi kuliah agama di negeri ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya semua penceramah agama yang hendak menyampaikan kuliah di negeri ini mesti memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Justeru, titah baginda, semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran dengan memperincikan tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan kepada MAINJ menerusi Pejabat Kadi Daerah.

“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.

“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam, tetapi untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama  Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu juga untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkatkan mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang  tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda.

Pada 8 Mac lalu, baginda memperkenankan langkah MAINJ untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini MAINJ.

Tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya