Ahmad Zahid perkenal calon malam ini - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid perkenal calon malam ini

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan kit bantuan makanan kepada mangsa banjir ketika melakukan lawatan di PPS SK Usman Awang di Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Senarai penuh calon-calon yang bertanding di peringkat nasional dalam pemilihan UMNO kali ini akan diumumkan malam ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengumumkan senarai berkenaan mengakui ramai ahli parti berkenaan menawarkan diri pada pemilihan kali ini.

“Malam ini buat pertama kalinya saya akan mengadakan majlis memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding di peringkat nasional.

“Kita ketahui bahawa ramai yang berminat untuk bertanding, saya sendiri walaupun insya-Allah tidak perlu bertanding (jawatan Presiden) bersama Timbalan Presiden, kami tetap akan bersama-sama, memperlihatkan kebersamaan kami dengan calon-calon yang menawarkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang ditemani Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan banjir di sekitar bandar Kota Tinggi serta melawat mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang di sini.

Pemilihan UMNO bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan bersama Pemilihan Jawatankuasa Cawangan dan Wanita, Pemuda serta Puteri Cawangan dari  diadakan pada 1 hingga 26 Februari lalu.

Mesyuarat Perwakilan serta Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO Pusat pula diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini, manakala Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diadakan serentak pada 18 Mac ini.

Kali terakhir pemilihan UMNO diadakan pada 30 Jun 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN