Ada kertas arahan Kabinet halang saya – Sanusi

Ada kertas arahan Kabinet halang saya – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa, wujud kertas arahan Kabinet yang menghalang dirinya daripada menghadiri majlis-majlis anjuran Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kertas arahan Kabinet itu ditunjukkan sendiri oleh pegawai sebuah kementerian kepada pegawai Pejabat Menteri Besar Kedah, kelmarin.

“Sebuah kementerian ada mesyuarat di Langkawi kelmarin. Pegawainya tunjukkan kertas arahan Kabinet itu kepada pegawai pejabat Menteri Besar yang hadir mesyuarat itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa beliau telah dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang bakal berlangsung Mei depan.

Melalui status tersebut, Muhammad Sanusi mendakwa, arahan itu merupakan keputusan terbaharu yang diambil Kabinet di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terbaharu, beliau mendakwa majlis berbuka puasa yang dijadual diadakan pada 9 April ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Se­langor juga telah dibatalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kerajaan negeri Kedah sudah membayar sewa dewan itu (tetapi dibatalkan) tetapi acara ini akan diteruskan di Kuala Lumpur,’’ katanya dalam laman Facebook beliau.

Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mendakwa terdapat jabatan tertentu yang turut tidak dibenarkan bekerjasama dalam program-program melibatkan kerajaan negeri.

“Tanyalah kepada pegawai-pegawai daerah, semua tahu arahan kepada jabatan tertentu untuk tidak memberi kerjasama atau terlibat dalam program negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin ketika dihubungi berkata, pimpinan Kerajaan Persekutuan termasuk menteri tidak bersikap profesional setiap kali hadir membuat lawatan kerja rasmi ke Kedah.

Menurutnya, setiap kali Perdana Menteri mahupun anggota Kabinet turun ke Kedah, tiada jemputan kepada Menteri Besar atau Exco terlibat untuk turut sama dalam sesuatu majlis.

“Sebagai contoh, lawatan kerja Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melibatkan beberapa program terkait de­ngan portfolio saya sebagai Exco di Kedah, tetapi saya tak dijemput hadir ke program berkenaan untuk turut serta dalam majlis sedangkan kita ada ruang untuk menjalin kerjasama.

“Dalam Facebook Fahmi, memanglah diletakkan gambar kononnya dia menjemput orang itu dan ini termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti yang sama parti de­ngannya. Tetapi mengapa saya sebagai Exco berkaitan serta ADUN Kuala Nerang dan Pedu tidak dipanggil atau dimaklumkan langsung,” katanya.

Tambahnya, tindakan sedemikian seolah-olah menafikan hak kerajaan negeri dan perkara itu tidak pernah berlaku dalam pemerintahan Perdana Menteri lain sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN