48 jam berlapar, bekas askar wataniah redah banjir cari makanan - Utusan Malaysia

48 jam berlapar, bekas askar wataniah redah banjir cari makanan

MOHD. SALLEH ISHAK nekad mengharung arus deras untuk membawa makanan bagi penghuni PPS SK Seri Bali yang dilanda banjir dan terputus hubungan di Chaah, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Rintihan mangsa-mangsa banjir yang hampir 48 jam tidak dapat mengalas membuatkan seorang bekas askar wataniah tekad meredah banjir bagi mencari makanan.

Mohd. Salleh Ishak, 47, yang juga mangsa banjir berkata, tiada apa yang difikirkannya selain ingin keluar mendapatkan makanan bagi 60 penghuni PPS yang kelaparan.

“Keluarga saya serta kira-kira 60 keluarga lain mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bali, di sini pada awal pagi Rabu lalu. Namun, situasi luar jangka dan paras air yang tinggi berserta arus deras di laluan masuk ke sekolah ini menyebabkan bantuan tidak boleh dihantar. Kesemua mangsa terpaksa menahan lapar selama dua malam di PPS.

“Selepas itu, saya nekad menghubungi beberapa penduduk berhampiran yang tidak terjejas banjir meminta bantuan mereka bagi menyediakan beberapa makanan kepada mangsa banjir di PPS ini,” katanya ketika ditemui di PPS SK Seri Bali, Chaah, di sini hari ini.

Mohd. Salleh menyedari arus deras banjir boleh membahayakan nyawanya, tetapi itu sahaja ikhtiar terakhir untuk meneruskan hidup.

Ini kerana ketika itu tidak ada bantuan yang dapat masuk ke PPS dan hanya ada jiran-jiran di kawasan berhampiran yang tidak dilanda banjir untuk meminta sedikit makanan di rumah mereka.

“Masalah pada awalnya adalah bagaimana makanan yang dimasak itu hendak dibawa ke PPS kerana arus sangat deras. Tetapi berbekalkan pengalaman sebagai askar wataniah, saya nekad menjunjung makanan dan  memegang sebelah tangan pada tali dan ada juga makanan sambil meredah banjir.

“Apa yang saya fikir ketika itu hanyalah keadaan anak-anak kecil di PPS ini yang sudah mula menangis kelaparan dan hanya berdoa supaya tidak ada sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya yang menetap di Kampung Jawa Baru dan  bertindak meredah arus sebanyak lima kali untuk mengambil dan membawa makanan berkenaan 

Sebelum ini, video berdurasi 26 saat dalam aplikasi TikTok tular menunjukkan Mohd. Salleh yang sanggup meredah arus deras dengan membawa makanan.

“SK Seri Bali ini sejak tahun 1980-an lagi memang biasa dijadikan PPS, tetapi tidak pernah langsung dinaiki air. Namun kali ini berbeza apabila air memasuki kawasan sekolah setinggi satu meter dan mangsa yang berada di PPS terpaksa bergegas pindah ke bilik darjah di tingkat atas.

“Situasi kali ini amat menyayat hati kerana pada awalnya mereka semua terpaksa kelaparan dan apabila saya dapat ambil makanan, mereka terpaksa pula catu makanan kerana bimbang air lambat surut dan bantuan tidak dapat masuk ke kawasan itu,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN