SEJAK tahun 1995, Datuk Seri Shahidan Kassim terlalu dominan sebagai Ketua UMNO Bahagian Arau sehinggalah beliau dipecat dari parti tahun lalu selepas bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sepanjang mengetuai UMNO Bahagian Arau, bekas Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu sukar digugat sehingga berjaya mengekalkan jawatan tersebut hampir 30 tahun.
Ironinya, UMNO Bahagian Arau bakal berwajah baharu dengan barisan kepemimpinan yang lebih segar sekali gus keluar dari ‘bayang-bayang’ Shahidan selama ini.
Antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding untuk mengetuai UMNO Bahagian Arau adalah Datuk Rozabil Abd. Rahman yang dijangka membentuk gandingan bersama pemimpin muda, Syed Atif Syed Abu Bakar sebagai timbalannya.
Mereka dilihat mampu menggalas tanggungjawab memimpin UMNO bahagian berkenaan sekali gus membawa parti itu ke era baharu selepas sekian lama di bawah pengaruh Shahidan.
Gandingan kedua-dua pemimpin muda tersebut selain dibantu dengan pemimpin muka baharu dan pengalaman dilihat mampu memulihkan kembali maruah UMNO yang tercalar teruk dalam PRU15 termasuk di Arau.
Selain itu, kepemimpinan UMNO Padang Besar juga bakal berwajah baharu selepas seorang lagi ‘otai’ Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mengetuai UMNO bahagian itu sejak 2008 dipecat parti baru-baru ini.
Selepas Pemangku Ketua UMNO Bahagian, Azizan Sulaiman yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon sesuai mengetuai bahagian itu membuat ketetapan tidak bertanding jawatan ketua bahagian dalam pemilihan parti itu, nama lain yang berpontensi adalah Ruzaini Rais yang juga Naib Ketua UMNO bahagian ketika ini
Siapa pun bakal mengetuai UMNO bahagian itu, cabarannya pasti besar bagi mengembalikan semula penguasaan parti itu di Padang Besar yang merupakan kubu kuat parti dalam setiap kali pilihan raya umum.
Padang Besar selama ini merupakan kubu kuat UMNO yang sama sekali tidak ada menjangkakan parti itu boleh tewas di semua kerusi dalam kawasan berkenaan pada PRU15.
Sementara di Kangar, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya sudah membuat ketetapan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian sekali gus sedia mencabar penyandangnya, Datuk Seri Azlan Man yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Azlan dijangka mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar meskipun masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Jika Fathul Bari berjaya menewaskan Azlan yang mengetuai Bahagian itu sejak 2014, sudah pastinya kepemimpinan UMNO Kangar juga bakal berwajah baharu. – UTUSAN










