PETALING JAYA: Saranan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah menurunkan semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Mac ini dijangka mampu menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan masyarakat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana pinjaman akan menjadi lebih murah sekiranya OPR diturunkan.
Justeru katanya, tindakan itu dapat membantu meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.
“Namun permintaan yang berlebihan akan menyebabkan risiko harga barangan dan perkhidmatan meningkat terutamanya jika penawaran itu tidak mencukupi.
“Ini boleh memberi impak yang negatif terhadap kemampuan rakyat menangani kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi,semalam.
Akhbar ini melaporkan, penganalisis ekonomi menyarankan BNM mengambil langkah menurunkan semula OPR dalam mesyuarat MPC Mac ini bagi merancakkan ekonomi negara.
Penganalisis ekonomi City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, ia susulan negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara yang tertinggi pada tahun lepas.
Justeru katanya, penurunan OPR dapat membantu mewujudkan suatu keadaan di mana tunai boleh diperoleh tanpa rasa bimbang dengan kadar faedah tinggi seterusnya menggerakkan ekonomi negara.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, OPR yang rendah juga dijangka menyebabkan pelaburan di negara ini tidak begitu menarik.
Katanya, ia sekali gus menyebabkan pelabur berkemungkinan memilih untuk melabur di negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) yang berterusan menaikkan kadar faedah.
“Ini kerana negara yang berterusan menaikkan kadar faedah memberi pulangan atas pelaburan yang lebih tinggi,” katanya.- UTUSAN










