Turunkan OPR jika ekonomi tidak meleset

Turunkan OPR jika ekonomi tidak meleset

OPR dijangka turun pada 2025. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) perlu menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) 2.75 peratus jika menjangkakan ekonomi tidak meleset pada tahun ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pensyarah ekonomi Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kadar OPR dinaikkan 25 mata asas empat kali tahun lalu bagi melonjakkan semula pertumbuhan ekonomi yang terjejas sejak pandemik Covid-19 pada 2020.

Namun, katanya, dengan pertumbuhan ekonomi mencatatkan 8.7 peratus tahun lalu dan jangkaan ekonomi yang tidak meleset tahun ini, tiada sebab untuk menaikkan OPR walaupun diancam inflasi.

“Apabila pertumbuhan ekonomi dijangka bertambah baik dan tidak meleset tahun ini, BNM tidak perlu lagi menaikkan OPR malah perlu diturunkan sekurang-kurangnya kepada 2.50 peratus.

“Kerajaan perlu mengekalkan momentum ekonomi tahun lalu bagi mengekang kesan inflasi, jangan ada lagi intervensi terhadap OPR, ia seharusnya dijadikan sebagai jalan terakhir untuk melonjakkan ekonomi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau juga menjangkakan ekonomi akan pulih sepenuhnya tahun ini, namun segala-galanya bergantung kepada kaedah dan pendekatan kerajaan.

“Pemulihan ekonomi sudah capai sekitar 70 hingga 80 peratus tapi ada segelintir sektor dan industri yang masih terkesan. Dalam hal ini, ekonomi perlu terus ditingkatkan menerusi bajet, urus tadbir yang baik serta pelaburan dalam dan luar negara,” katanya.

Terdahulu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini disebabkan oleh beberapa faktor antaranya pengukuhan dalam permintaan domestik, peluang pekerjaan dan pelaburan.

Ini setelah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 8.7 peratus pada tahun 2022, pertumbuhan tahunan tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 22 tahun, berbanding 3.1 peratus pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan positif dalam semua sektor.

Namun, katanya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana tetapi kekal tinggi pada 2023 dalam keadaan tekanan kos dan permintaan yang berlarutan.

Beliau bagaimanapun mempertahankan keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada Januari 2023 bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan mengambil iktibar daripada kesan kenaikan kumulatif OPR pada 2022 serta mengambil kira persekitaran ekonomi dan impaknya terhadap prospek pertumbuhan serta inflasi.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berharap kerajaan terus berwaspada dengan situasi ekonomi dunia.

“Malaysia sememangnya tidak akan gawat tahun ini berdasarkan pusingan ekonomi dalam tempoh 10 tahun dengan trend ekonomi semakin pulih dan menjadi jauh lebih baik tahun ini.

“Jika berlaku kegawatan ekonomi dunia, kita juga akan terkena tempiasnya. Jadi, kita perlu terus berjaga-jaga dengan mengawal inflasi yang ketika ini pada kadar tiga peratus selain boleh dijadikan sebagai perangsang ekonomi untuk menaikkan lagi KDNK tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN