Tuntutan waris Sulu: Apa keputusan mahkamah di Perancis?

Tuntutan waris Sulu: Apa keputusan mahkamah di Perancis?

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa supaya menjelaskan kedudukan anugerah muktamad bertarikh 28 Februari 2022 atas tuntutan oleh sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu melalui timbang tara yang didaftarkan di mahkamah timbang tara di Perancis.

Ia sama ada anugerah itu telah dibatal atau diketepikan sama seperti yang berlaku di Sepanyol, menyaksikan Mahkamah Perlembagaannya menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan kumpulan berkenaan terhadap pendaftaran Dr. Gondoza Stampa sebagai penimbang tara di Sepanyol.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, keadaan itu akan mendedahkan negara kepada pelaksanaan tuntutan yang salah oleh kumpulan Sulu selagi tiada kenyataan jelas berhubung pembatalan anugerah muktamad di Perancis.

Selain itu, kumpulan Sulu berkenaan juga dikhuatiri menggunakan kaedah lain dengan memfailkan pelaksanaan tuntutan di negara-negara lain selain Luxembourg dan Belanda, yang menandatangani Konvensyen New York 1958 yang mungkin mengiktiraf pelantikan Stampa sebagai penimbang tara yang sah.

“Sehingga kini kita tidak tahu apa yang berlaku di Perancis. Walaupun kerajaan mengeluarkan kenyataan mengenai pembatalan Stampa di Sepanyol, tetapi ini tidak memuktamadkan permasalahan berkaitan anugerah muktamad pada tarikh saya sebutkan di Perancis.

“Adakah perbicaraan di mahkamah sudah bermula atau belum? Ini yang kita masih tidak tahu. Sehinggalah perkara ini berlaku, maka, kita terdedah dengan tuntutan salah ‘waris Sulu’ di mahkamah seluruh dunia yang menandatangani konvensyen arbitrasi 1958 itu.

“Jadi, sama ada menteri undang-undang atau pun Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan yang lengkap berkaitan kedudukan prosiding di Paris, ini yang perlu diketahui sudahkah dengar rayuan Malaysia? Dan apakah keputusan mahkamah Paris berkenaan perkara ini?

“Kenyataan menteri (Datuk Seri Azalina Othman Said) cuma berkaitan prosiding di Luxembourg dan Sepanyol sahaja, dan bukannya berkaitan Perancis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mempersoal sama ada kerajaan memaklumkan kepada setiap kedutaan negara ini atau Kementerian Luar Negeri telah mendaftarkan bantahan di setiap negara yang menandatangani konvensyen berkenaan jika ‘waris Sulu’ memulakan tuntutan pelaksanaan.

“Kita perlu memberi notis diplomatik kepada negara-negara yang terlibat untuk membantah tuntutan pelaksanaan salah ‘waris Sulu’ ini.

“Apabila membatalkan anugerah muktamad di Paris, maka perlu maklumkan, perkara ini perlu sampai di setiap pusat arbitrasi dan mahkamah seluruh dunia yang boleh melaksanakan anugerah itu,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia masih belum boleh bergembira dengan keputusan mahkamah di Sepanyol yang menolak rayuan perlembagaan luar biasa kumpulan Sulu. Ini kerana, kerana masih mempunyai kes di Perancis dan mereka tidak menerima keputusan dibuat di mahkamah timbang tara di Sepanyol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini memaklumkan, kerajaan menerima pengesahan rasmi bahawa rayuan perlembagaan difailkan penuntut itu ditolak dan pembatalan pelantikan Stampa (yang sudah muktamad dan mengikat) turut disahkan mahkamah di Sepanyol.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, kerajaan mempunyai peluang cerah untuk mengetepikan tuntutan pelaksanaan dengan syarat kementerian, agensi dan jabatan yang terlibat bersedia menghadapi timbang tara dibawa kumpulan itu.

“Sepatutnya, apabila telah diisytihar tidak sah oleh timbang tara di Sepanyol, tidak timbul lagi isu ini di bawa ke timbang tara negara lain. Tetapi, inilah yang dinamakan sebagai ‘forum shopping, yang mana kumpulan ini cuba membuat tuntutan di pelbagai mahkamah.

“Ini merupakan amalan tuntutan guaman tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah yang akan ‘melayan’ dengan harapan keputusan memihak mereka.

“Menyedari Sabah memang milik Malaysia, apa yang cuba dilakukan adalah dengan merampas aset syarikat milik negara melalui forum shopping ini dengan alasan kerajaan tidak bayar pampasan kepada mereka walaupun saya rasa perjanjian ini sudah lama terbatal,” katanya. -HABIS

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN