PETALING JAYA: Tiada subsidi akan diberikan oleh kerajaan untuk mengekalkan inisiatif Menu Rahmah biarpun berlaku kenaikan harga barang dan bahan mentah.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan pemberian subsidi bagi pelaksanaan menu itu sebagai tiada keperluan berdasarkan dasar serta situasi semasa.
Katanya, apa yang penting, timbal balas dan libat urus yang baik antara kerajaan dan pemain industri dijadikan pemangkin bagi mengimbangi kenaikan harga barang.
“Kita sudah beri banyak (subsidi) kepada rakyat. Setakat ini, saya beri jaminan kepada Kabinet, ia tidak akan libatkan dana kerajaan dan kita pun tidak berjanji dengan industri,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
CABARAN
Beliau berkata, sebagai penyelesaiannya, kerajaan akan sentiasa berhubung dengan pihak industri untuk mengetahui cabaran dan masalah yang mereka hadapi dan melihat bagaimana kerajaan boleh membantu.
“Macam industri sawit, perikanan, kedai makan dan sektor pembuatan, mereka ada beberapa cabaran dan masalah. Saya tanya kepada pihak industri sawit, bolehkah diturunkan harga minyak (sawit)?
“Mereka kata boleh tetapi beri kami pekerja asing yang mencukupi. Jadi, Kabinet putuskan kita selesaikan isu infrastruktur dahulu (sebelum ke perkara lain) dan mudahkan perkara ini,” jelas beliau.
Setakat ini Menu Rahmah yang dilancarkan sejak 31 Januari lepas berjaya melibatkan 15,000 premis menjual makanan bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, ketika ditanya berkenaan pelantikan dua pegawai bersaudara di kementeriannya, Salahuddin berkata, tidak timbul sebarang isu dan menyifatkan ia bukan sesuatu yang disengajakan.
Malah, beliau berjanji akan memantau sebarang tingkah laku dua pegawai tersebut bagi mengelakkan sebarang penyelewengan.
“Itu tidak saya sengajakan sebab kebetulan Suhaizan Kaiat merupakan Ketua Kawasan Pulai dan saya mahu dia jadi Setiausaha Politik. Suhaizan juga bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Sulaiman Kaiat pula bekerja di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) sebelum ini dan ketika saya memegang jawatan di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dia jadi Setiausaha Sulit Kanan (SUSK).
“Tapi mereka tidak duduk di pejabat yang sama. Walau apapun, saya sentiasa memerhati kalau berlaku tanda-tanda atau mungkin dua beradik ini membuat perancangan begitu atau begini, saya memberi jaminan saya tidak izinkan,” jelasnya. – UTUSAN










