PETALING JAYA: Harga telur ayam dijangka tidak akan turun di bawah 50 sen sebiji selama-lamanya akibat masalah operasi di ladang-ladang telur yang berpunca daripada kegagalan polisi kerajaan dalam memastikan isu kekurangan bekalan diatasi.
Sumber industri yang dihubungi Utusan Malaysia mendedahkan, berdasarkan libat urus dengan kementerian serta agensi yang terlibat, ada beberapa ladang telur di Malaysia sekarang ini berlumba-lumba memohon permit mengimport telur dari negara lain.
Menurutnya, permohonan mengimport telur itu dibuat kerana syarikat-syarikat tersebut mempunyai ladang telur di Vietnam dan mereka terdorong untuk membawa masuk telur dari ladang tersebut ke Malaysia susulan polisi kerajaan yang sebelum ini bersetuju membawa masuk telur import dari India.
KEKAL
Kata sumber, dengan kemasukan telur import, ditambah pula isu harga anak ayam serta dedak yang tinggi, pihak industri menjangkakan harga telur akan kekal pada kadar 50 sen sebiji dan tidak akan turun lagi.
“Selepas ini, harga telur secara purata akan kekal 50 sen sebiji di seluruh negara dan lama-kelamaan ia akan jadi normal. Rakyat pun sudah muak dengan harga telur yang tak turun-turun walaupun dah macam-macam dibuat.
“Akhirnya rakyat akan pakat reda dan beli saja. Maksudnya, harga telur memang sukar atau mustahil untuk turun seperti sebelum ini,” kata sumber.
Menjelaskan lanjut, sumber berkata, berdasarkan pengiraan pihaknya, harga telur yang normal selepas ini adalah antara 50 sen hingga 53 sen sebiji.
“Maksudnya, sepapan telur akan jadi RM15 ke atas dan harga itu terpaksa diterima oleh rakyat, maka apa nasib kumpulan berpendapatan rendah?” katanya.
Dalam pada itu, sumber itu berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) masih belum membuat ketetapan sama ada akan meneruskan subsidi ataupun mengapungkan harga ayam dan telur bagi menstabilkan industri.
SUBSIDI
“Namun, oleh kerana kawalan harga ayam dan telur masih diteruskan, jadi kita mohon agar subsidi juga diteruskan,’’ katanya.
Sumber berkata, pihak industri sudah mencadangkan supaya kawalan harga ditamatkan 31 Disember tahun lepas. tetapi tidak diluluskan.
“Kita cadangkan supaya diteruskan subsidi secara dikurangkan sedikit demi sedikit, sampailah subsidi ditarik balik dan harga ayam dan telur diapungkan,” katanya.
Sumber menambah, kerajaan sepatutnya mempunyai polisi yang jitu dan tidak berubah-ubah, kerana ia akan menjejaskan keyakinan para penternak sama ada mahu meluaskan saiz operasi atau sekadar bertahan dengan kapasiti pengeluaran sedia ada. – UTUSAN










