SEREMBAN: Suspek utama warga Indonesia yang aktif dalam kes pecah kenderaan di sekitar Seremban di sini dikesan memiliki pas media dari negara seberang dan dikesan masuk ke Malaysia menggunakan pas pelancong.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek berusia 34 tahun itu menjalankan kegiatan pecah cermin kereta bersama isterinya berusia 30 tahun dengan penglibatan lima lagi rakan senegara.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek utama iaitu lelaki warga Indonesia itu menemui identiti pas media Indonesia, namun kami masih menyiasat sama ada pas itu tulen atau tidak.
“Hasil risikan dan intipan pada 17 Februari lalu, pihak polis berjaya menahan pasangan suami isteri warga Indonesia tersebut yang merupakan suspek utama dan hasil soal siasat membawa kepada penangkapan lima lagi suspek warganegara sama pada Ahad lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Nanda, lima suspek itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berusia 26 hingga 43 tahun yang kesemuanya ditahan di Jalan Reko, Kajang, Selangor.
“Modus operandi mereka ialah suspek pasangan suami isteri itu akan bertindak memecahkan cermin segi tiga di belakang kenderaan menggunakan alat palam pencucuh sebelum melarikan barang berharga.
“Kemudian mereka akan menyerahkan barang dicuri kepada lima lagi suspek yang ditahan untuk digadaikan atau dijual bagi mendapatkan wang,” katanya.
Jelas Nanda, kumpulan tersebut menyasarkan kenderaan yang diletakkan di kawasan sunyi di sekitar bandar Seremban sejak Januari lalu dan hasil soal siasat suspek terlibat mengaku terlibat dalam tujuh kes di sekitar daerah ini.
“Jumlah keseluruhan kerugian barang kes dianggarkan bernilai RM33,700 dengan pelbagai barang rampasan termasuk sebuah Perodua Bezza yang disewa suspek, beg berjenama, jam tangan, barang kemas dan duit pelbagai mata wang,” katanya.
Berdasarkan siasatan lanjut, Nanda berkata, pasangan suami isteri itu masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sejak Disember 2022 manakala lima suspek pada bulan lalu.
Sehubungan itu, Nanda berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak meminggalkan barangan berharga di dalam kereta sehingga mendorong kepada kes pecah kenderaan.
Tambah beliau, kesemua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 24 Februari depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.
“Kesalahan itu memperuntukan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN.