SPRM masih teliti penyata akaun Bersatu - Utusan Malaysia

SPRM masih teliti penyata akaun Bersatu

Dalam tempoh seminggu dua lagi akan ada keputusan sama ada, ada individu yang akan didakwa atau tidak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyata akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih di dalam penelitian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bagi mengesan aliran kewangan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki  dibelanjakan parti itu.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, pasukan siasatan bagi kes itu juga difahamkan sedang mengesan ‘penyata bayaran’ yang dikeluarkan Bersatu dalam perbelanjaan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sumber itu berkata, peringkat awal siasatan mendapati ada sejumlah wang yang dikeluarkan daripada akuan parti untuk ditunaikan sebelum ia dibelanjakan.

“Fokus siasatan SPRM masih menumpukan ‘money trail’ kemana wang itu dibelanjakan. Adakah ia dibelanjakan sepenuhnya bagi kempen PRN dan PRU15 atau sebaliknya.

“Sekiranya analisis kewangan mendapati digunakan bagi kepentingan individu, perkara ini boleh dikira sebagai pecah amanah,” katanya secara ringkas.

Mengulas  lanjut, kata sumber itu, RM40 juta wang yang dibekukan di dalam dua bank parti itu hanyalah 15 peratus daripada dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang belum dibelanjakan.

Sumber itu berkata, pembekuan akaun oleh SPRM tidak boleh dipersoal mana-mana pihak kerana  dana diperoleh Bersatu itu disyaki sebagai sumber ‘rasuah’ memandangkan diperoleh daripada kontraktor berkepentingan dalam menjalankan projek-projek kerajaan secara runding terus.

“Berdasarkan peruntukan di bawah Akta SPRM, akaun atau harta seseorang yang disiasat boleh dibekukan sehingga 90 hari dan jika ada alasan munasabah boleh dilanjutkan sehingga sembilan bulan lagi.

“Di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) pula harta yang dipercayai diperoleh secara rasuah dan salah guna kuasa boleh dibekukan sehingga 18 bulan,” katanya.

PEMIMPIN

Kata sumber lagi, keterangan beberapa lagi pemimpin Bersatu dan pegawai kerajaan akan diambil SPRM dalam masa terdekat ini bagi siasatan lanjut.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, keterangan lebih 20 individu termasuk pemimpin Bersatu telah dipanggil SPRM bagi menperincikan aliran kewangan membabitkan dana RM300 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima oleh parti itu.

Setakat ini, dua akaun parti berkenaan masih dibekukan sehingga kini.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, penelitian jejak wang membabitkan baki RM260 juta yang disyaki  dibelanjakan Bersatu untuk kempen politiknya, mungkin membawa kepada satu lagi akaun sebuah parti politik akan dibekukan.

Satu sumber terdekat parti itu mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan pembekuan itu bagaimanapun bergantung kepada aliran wang berkenaan digunakan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan nama-nama individu yang akan dipanggil selain tidak mahu memberi komen lanjut dengan alasan siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×