Serina hilang hak jagaan kekal ke atas anak perempuan - Utusan Malaysia

Serina hilang hak jagaan kekal ke atas anak perempuan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas suami Serina Redzuawan iaitu Gavin Edward O’luanaigh memperoleh hak penjagaan kekal bagi kedua-dua anaknya  selepas berjaya mengubah perintah tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.

Pada 26 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memberikan hak penjagaan anak pertama pasangan itu, Tristan Tareef O’luanaigh, 13, kepada Gavin atau nama nama Islamnya, Salahudin Ghafar,46, manakala hak penjagaan Isabella Saffiya O’luanaigh, 12, diberikan kepada Serina.

Menurut peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin, Hakim Syarie, Zalinah Ahmad memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan anak guamnya untuk mengubah perintah hak penjagaan itu.

“Mahkamah membuat keputusan tersebut setelah menemuramah Isabella tentang pilihannya untuk tinggal dengan siapa selama hampir 30 minit. Mahkamah turut mendengar keterangan Gavin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata Zainul Rijal, sesi temu ramah dengan Isabella dijalankan secara tertutup.

Selain mengubah perintah hak penjagaan, mahkamah turut menetapkan bahawa Serina kini diberikan hak lawatan dua minggu sekali.

Menurut peguam terbabit, walaupun telah diberikan hak penjagaan ke atas Isabella, Serina tidak pernah mengambil kanak-kanak tersebut untuk dijaga sehingga hari ini.

“Gavin ada memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia percaya Serina kini tinggal di Perlis selepas berkahwin semula,” kata Zainul Rijal.

SYUKUR

Sementara itu, Gavin, kata peguam terbabit mengucapkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah semalam kerana kedua-dua anaknya tidak lagi berisiko untuk dipisahkan.

Pada April 2021, media melaporkan Serina yang juga anak kepada chef selebriti, Chef Wan  berkahwin semula dengan seorang pegawai polis berpangkat inspektor.

Selain Zainul Rijal, Gavin turut diwakili peguam syarie, Muhammad Shafiq Ibrahim. Turut hadir pada prosiding semalam ialah isteri baharu Gavin.

Serina tidak hadir pada prosiding semalam walaupun sesalinan permohonan diserahkan kepadanya.

Permohonan ubah perintah tersebut difailkan pada 9 Februari 2022. Permohonan itu dibuat mengikut  Seksyen 76 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Gavin menyatakan, Serina kerap berpindah tempat tinggal. 

BERPINDAH

Bekas isterinya itu juga didapati telah berpindah ke Arau, sekali gus menyukarkan wanita berkenaan untuk menjalankan tanggungjawabnya memelihara keselamatan Isabella.

“Anak perempuan kami ini, tidak pernah bersama-sama dengan defendan dalam tempoh yang lama sejak dia dilahirkan.

“Sering kali mengabai dalam memberi kasih sayang secukupnya kepada anak keduanya ini,” kata Gavin dalam dokumen terbabit.

Tambah lelaki berkenaan, sejak Serina memperoleh perintah jagaan anak kedua pada 26 Ogos 2020 sehingga tuntutan ini difailkan, dia tidak pernah menjaga kebajikan Isabella.

Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Gavin pernah mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 26 Ogos 2020 itu namun Mahkamah Rayuan Syariah menolak rayuan terbabit dan mengekal perintah tersebut.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya