Russia cadang mansuh visa

Russia cadang mansuh visa

NAIYL M. Latypov (kiri) ditemu ramah wartawan Utusan Malaysia di Kedutaan Russia, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Russia bercadang memansuhkan visa bagi rakyat Malaysia mengunjungi negara itu dalam menarik lebih ramai pelancong selain meneroka peluang perniagaan baharu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Russia ke Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas kerajaan Malaysia sebelum ia dapat dilaksanakan.

Katanya, Malaysia menjadi pilihan kerana dilihat mampu menjadi rakan dagang berpotensi selain kedudukannya yang strategik sebagai hab ASEAN.

“Kami amat menghargai jasa baik kerajaan Malaysia yang membenarkan rakyat Russia memasuki negara ini tanpa visa.

“Kami juga mahu melakukan perkara sama kepada rakyat Malaysia yang ingin mengunjungi Russia. Namun, mengikut undang-undang negara, kami hanya boleh berbuat demikian berdasarkan perjanjian antara kedua-dua kerajaan. Proses sama turut diguna pakai untuk negara lain juga.

“Ketika ini, Kedutaan Russia masih menunggu maklum balas daripada Malaysia. Selepas menerima jawapan, kami akan melaporkan kepada Moscow. Kami sedar proses ini agak rumit, namun, kami berusaha untuk memuktamadkannya secepat mungkin,” katanya.

Mengulas lanjut, Latypov berkata, proses pemansuhan visa sudah dimulakan sejak tahun 2018, namun, ia terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Ketika itu, ramai bimbang mengenai penularan kes jangkitan Covid-19, tetapi kini, situasi sudah kembali normal dan melalui fasa endemik. Jadi, ini masa yang sesuai untuk memulakan semula rundingan bagi mencapai kata putus berhubung isu ini.

“Malah, usaha ini juga bukannya perkara baharu, sebaliknya sudah bermula sebelum krisis di Ukraine,” katanya.

Dalam pada itu, Latypov berkata, langkah itu mampu memanfaatkan kedua-dua negara dari segi pelancongan dan perniagaan.

“Ia dapat meningkatkan kemasukan pengunjung dari kedua-dua negara dan membantu warga Malaysia mengintai peluang perniagaan baharu yang ada di Russia,” katanya.

Sementara itu, Latypov berkata, ketika ini, pihaknya menyediakan kemudahan e-visa bagi memudahkan perjalanan pelancong Malaysia yang ingin ke Russia.

“Pelancong yang ingin melawat Russia boleh memohon e-visa secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat kedutaan.

“Bagi ahli perniagaan pula, kami akan memudahkan permohonan visa mereka dengan cuba mempercepatkan proses dokumentasi yang diperlukan,” katanya.

Setakat ini, dagangan Russia dengan Malaysia bernilai RM3.2 bilion dan negara itu menjangkakan jumlah itu akan meningkat sekali ganda pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN