Rombak sistem kesihatan

Rombak sistem kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba ma­­sanya sistem kesihatan ne­ga­ra ini dirombak bukan sahaja membabitkan perjawatan tetapi merangkumi perkhidmatan kesihatan, kewangan dan pencegahan penyakit dengan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

Pertambahan populasi 32.9 juta penduduk pada tahun ini di samping 15 peratus rakyat berusia lebih 60 tahun menje­lang 2030 menuntut reformasi perkhidmatan kesihatan dilaksanakan agar tidak terus membebankan kewangan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kewujudan suruhanjaya itu penting kerana sistem sedia ada membebankan semua pihak khususnya soal perjawatan akibat berlaku birokrasi pengambilan petugas kesihatan.

Justeru, katanya pa­li­ng penting adalah memisahkan sektor kesihatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) agar Suruhanjaya Perkhid­matan Ke­sihatan diberikan kuasa dalam menentukan jumlah kakitangan, tangga gaji, imbuhan dan pelantikan petugas.

“Kita terlalu terikut dengan JPA dan menyebabkan sukar untuk mendapatkan perjawatan dengan cepat kerana terpaksa bersaing dengan sektor lain. Sedangkan ada hospital tidak cukup doktor, jururawat dan petugas kesihatan kerana ada pegawai berhenti kerja.

“Jadi penyelesaian terbaik menyegerakan penubuhan su­ruhanjaya yang telah lama di­cadangkan supaya badan ke­sihatan mempunyai entiti sen­diri menguruskan pengambilan kakitangan, bayaran gaji dan elaun serta latihan seperti polis di bawah Suruhanjaya Pasukan Polis dan badan kehakiman pula ada Suruhanjaya Kehakiman begitu juga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,” katanya.

Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar menerusi Minda Pengarang Utusan Malaysia menyuarakan agar Kementerian Kesihatan dibebaskan birokrasi negara dengan memisahkannya daripada telunjuk JPA agar dapat menentukan struktur tersendiri.

Katanya, kementerian itu per­lu menentukan struktur ter­sendiri seperti jumlah kakita­ngan diperlukan, tangga gaji dan imbuhan, pelantikan, pro­sedur dan amalan.

Selain itu, isu tuntutan Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang menggesa kerajaan menyelesaikan beberapa tuntutan khususnya membabitkan status pegawai perubatan kontrak.

Sektor kesihatan juga dianggap kritikal apabila seorang doktor perlu merawat 1,000 pesakit sedangkan nisbah doktor dan pesakit oleh Kementerian Kesihatan pada 2021 adalah 1:420 di sektor awam dan wasta.

Dalam pada itu, Dr. Zainal Ariffin berkata, sekiranya idea Suruhanjaya Perkhidmatan Ke­sihatan dapat dilaksanakan, ia dapat menyelesaikan isu skim perkhidmatan kesihatan sekali gus mengelakkan lebih ramai pakar dan pegawai perubatan berhijrah ke luar negara.

Beliau menegaskan, idea suruhanjaya tersebut tidak boleh dilengahkan dan Menteri Kesihatan tidak boleh mengambil masa terlalu lama kerana perkara tersebut telah lama disuarakan.

“Setiap kali bertukar tampuk kepimpinan Kementerian Kesihatan, ada menteri berhasrat mahu mewujudkan suruhanjaya kesihatan tetapi sehingga kini tidak berlaku. Jadi Dr. Zaliha Mustafa kena lakukan perubahan drastik sistem kesihatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN