PETALING JAYA: Restoran mamak di seluruh negara komited membantu masyarakat melalui kempen Menu Rahmah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, Presma yakin kesemua 10,000 rangkaian restoran di bawahnya akan menjayakan pengenalan menu tersebut.
Dalam Menu Rahmah, makanan-makanan yang dijual tidak lebih RM5 sepinggan tanpa sebarang had pelanggan.
Mengulas perkara itu, Jawahar berkata, melalui satu pertemuan Presma dengan KPDN minggu lalu, kementerian itu telah mengutarakan hasrat mewujudkan satu menu untuk menyantuni kumpulan B40, M40 serta golongan asnaf.
Menurutnya, selain Presma, beberapa persatuan restoran lain juga turut serta dalam kempen Menu Rahmah itu.
“Malah, tadi pun (31 Januari) menu rahmah ini sudah dilancarkan di Mydin Subang Jaya. Kami yakin, kesemua 10,000 rangkaian restoran di bawah Presma akan memberikan komitmen menjayakan Menu Rahmah ini.
“Begitu juga daripada Persatuan Restoran India Malaysia (Primas) serta persatuan peniaga tomyam, ketiga-tiga persatuan ini bersetuju,” katanya.
Semalam, KPDN menyatakan bahawa lebih 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara menyertai inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sumbangan itu adalah untuk membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini.
“Dalam Menu Rahmah, makanan-makanan yang dijual tidak lebih RM5 sepinggan tanpa sebarang had pelanggan. Maknanya perut rakyat yang memerlukan dapat terisi dengan makanan dari awal pagi sampai ke malam.
“Cadangan harga RM5 itu adalah paling munasabah selepas pihak kami membuat kajian. Bukan sahaja nasi, ayam atau ikan dan sayur semata, pelanggan boleh memilih pelbagai menu lain yang dijual oleh peniaga.
“Justeru, saya sangat menghargai sumbangan para peniaga yang terlibat kerana sudi mengecilkan keuntungan, tidak mengurangkan jumlah makanan (portion) dan tidak berkompromi dengan variasi menu yang diberikan,” katanya. – UTUSAN










