Remaja lemas di Teluk Tongkang, ditemukan terdampar di pantai - Utusan Malaysia

Remaja lemas di Teluk Tongkang, ditemukan terdampar di pantai

MAYAT remaja yang dilaporkan lemas ketika mandi bersama dua rakannya di Teluk Tongkang di Teluk Chempedak ditemukan oleh orang awam di Pantai Tembeling Resort kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mayat remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi manda bersama dua rakannya di Teluk Tongkang di Pantai Teluk Chempedak semalam ditemukan terdampar di pantai berhampiran Tembeling Resort di sini.

Mangsa, Muhamad Ikhmal Hakim Ahmad, 20, ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 2.59 petang hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa ditemukan oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan dengan keadaan mayat yang masih sempurna.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulfadli berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan kekuatan 50 anggota penyelamat membabitkan pelbagai agensi termasuk JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Operasi menyelamat ditamatkan pukul 3.30 petang hari ini,” katanya.

Semalam, Muhamad Ikhmal Hakim dipercayai melakukan aktiviti mandi-manda itu bersama dua rakannya, Amirul Izat Zainal Abidin, 19, dan Fadhli Simon, 20.

Mereka melakukan aktiviti riadah itu di kawasan berbatu lebih kurang 100 meter dari pantai Teluk Tongkang dan lokasi tersebut boleh berjalan kaki semasa air surut kerana paras air ketika itu hanya di paras pinggang.

Ketika mereka sedang mandi, air laut pasang dan laluan untuk balik ke tepi pantai mula dinaiki air dengan arus yang deras serta ombak tinggi.

Mangsa dan rakan-rakannya cuba berenang dari kawasan mereka mandi ke pantai namun ketiga-tiganya dihanyutkan arus, Amirul Izat dan Fadhli selamat dalam tragedi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya