PETALING JAYA: Kegiatan mengorek unsur nadir bumi atau rare earth element (REE) bagi memanfaatkan sumber itu untuk menjana pendapatan negara perlu dipantau bagi memastikan aktiviti itu tidak merosakkan alam sekitar seterusnya kepada penduduk di sekitar.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof Dr. Ahmad Ismail berkata, sumber asli yang ditemui di beberapa kawasan di pantai timur, Kedah dan Pahang sangat bagus kerana negara memiliki sumber bumi yang boleh didagangkan.
Bagaimanapun, menurut beliau, proses memperoleh REE itu perlu sistematik dan tidak membawa impak sehingga menggugat kelestarian penduduk seperti sedang dialami dalam isu perlombongan bauksit di Kuantan.
“Sebab itu kita memerlukan kepakaran dan teknologi yang berkesesuaian sekiranya mahu memanfaatkan REE ini. Ambil iktibar dengan apa yang berlaku dengan tongkang membawa bauksit.
“Kegiatan tersebut memang diakui membawa keuntungan kerana REE membolehkan negara mendapat duit tetapi ia juga membawa kepada beberapa kesan negatif seperti kerosakan alam sekitar dan kesan pada kesihatan juga kita kena pertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
REE
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tiga daripada 16 sumber unsur REE yang banyak terdapat di beberapa kawasan di pantai timur, Kedah dan Perak mempunyai nilai komersial tinggi sehingga mencecah harga RM2 juta satu metrik tan.
Tiga unsur berkenaan adalah Praseodymium (Pr) berharga RM577,212 satu metrik tan, Neodymium (Nd) RM593,336 dan Dysprosium (Dy) berharga RM1.9509 juta satu metrik tan.
Dianggarkan pada 2030, antara 40,000 ke 70,000 metrik tan Pr, Nd dan Dy diperlukan untuk menghasilkan bateri teknologi kenderaan elektrik (EV) dan magnet berprestasi tinggi.
Sependapat dengan itu, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizuddin Nasaruddin berkata, REE mampu menjana ekonomi negara namun segala eksploitasi mineral perlu mengikut pelan rancangan fizikal sedia ada.
Jelasnya, sekiranya REE itu terletak di dalam kawasan sensitif alam sekitar iaitu pada tahan satu dan dua ia perlu dielakkan kerana proses kerja tersebut melibatkan banyak kesan besar khususnya kepada alam.
“Kerajaan perlu pastikan kerja-kerja nak mendapatkan REE itu bukan berada di kawasan sensitif atau dibuat dalam kawasan hutan simpan. Kami tidak mahu keadaan sama seperti di Kedah berlaku.
“Perlu juga ada penguatkuasaan dan pemantauan yang begitu ketat kepada aktiviti-aktiviti tersebut seperti pegawai kerajaan perlu kerap turun lapangan. Malah, harus mempunyai kerjasama antara agensi kerajaan serta penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN










