SEREMBAN: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan dari Barisan Nasional (BN) membuat keputusan tidak mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, ketiga-tiga mereka iaitu ADUN Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli; ADUN Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa dan ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan menjelaskan, keputusan dibuat bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada tugas sebagai Ahli Parlimen.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Shamsulkahar memenangi kerusi Parlimen Jempol, Mohd. Isam menang di kerusi Tampin manakala Adnan memenangi kerusi Kuala Pilah.
“Saya tidak akan pertahan kerusi DUN dan hanya fokus di kerusi Parlimen. DUN Serting ini nanti berilah peluang kepada muka baharu,” kata Shamsulkahar.
Pendirian sama disuarakan Mohd. Isam yang berharap wakil rakyat baharu di Gemencheh yang dipilih pada PRN nanti dapat bersama-samanya membantu masyarakat di Tampin.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata, hasrat tidak mempertahan kerusi DUN itu juga telah beliau maklumkan kepada kepemimpinan parti di peringkat bahagian itu.
Sementara itu, Adnan berkata, beliau berhasrat supaya kerusi DUN Senaling ditandingi oleh calon baharu dan muda.
“Jika ditanya kepada saya, saya mahu memberi peluang kepada calon baharu yang muda. Namun begitu saya serahkan kepada kepemimpinan parti,” katanya.
Di Negeri Sembilan, daripada lapan ahli Parlimen yang memenangi kerusi masing-masing pada PRU15, enam daripada mereka adalah ADUN.
Tiga orang lagi iaitu Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan ADUN Rantau dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang juga merupakan ADUN Chennah.
Kedua-dua mereka juga kini merupakan ahli jemaah menteri dengan Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan manakala Mohamad sebagai Menteri Pertahanan. – UTUSAN










