PRN: Peluang Khairy lebih cerah jika bertanding di Kelantan - Utusan Malaysia

PRN: Peluang Khairy lebih cerah jika bertanding di Kelantan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Peluang Khairy Jamaluddin untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah sebagai Menteri Besar lebih terbuka luas sekiranya bekas Ketua Pemuda UMNO itu bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan nanti.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peluang Khairy adalah lebih baik di Kelantan berbanding sekiranya bekas Ahli Parlimen Rembau itu bertanding di Negeri Sembilan.

“Kalau betul mahu jadikan khairy sebagai Menteri Besar, saya rasa peluangnya di Kelantan lebih terbuka luas,” katanya di Wisma Negeri di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita dalam selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.

Aminuddin mengulas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Akmal, semalam, iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menguasai Selangor dan Negeri Sembilan jika Khairy bertanding menggunakan tiket parti itu dalam PRN akan datang.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kehadiran Khairy mampu mewujudkan satu gelombang baharu kepada anak muda khususnya pengundi atas pagar bagi memberikan undi kepada PN dan berupaya memberi kemenangan sekali gus merampas kedua-dua negeri itu daripada PH.

Beliau turut memberitahu, pihaknya bersedia memberikan laluan kepada Khairy membabitkan mana-mana satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor atau Negeri Sembilan jika Khairy berminat menyertai Bersatu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, sebarang pandangan atau cadangan sudah tentulah mesti dihormati.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, kita raikan, semua akan cakap boleh menang, dalam politik itu biasa, kalau tanya saya pun saya cakap saya boleh menang, itulah politik.

“Tetapi Wan Fayhsal orang Kelantan, kalau Khairy bertanding di Kelantan saya rasa lebih baik, boleh jadi Menteri Besar Kelantan. Wan Fayhsal cadanglah supaya Khairy bertanding di Kelantan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan berkata, beliau mempertimbangkan untuk bertanding di DUN Selangor dan turut ditawarkan menjadi Menteri Besar sekiranya menang.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran tersebut.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya