PRN: Cadangan tiada persaingan antara PH-BN disambut baik - Utusan Malaysia

PRN: Cadangan tiada persaingan antara PH-BN disambut baik

AMINUDDIN Harun (tengah) bergambar bersama murid-murid yang menyertai Majlis Perasmian Penutup Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menyambut baik sekiranya terdapat kesepakatan supaya parti-parti yang dalam kerajaan perpaduan ketika ini tidak bersaing sesama sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan positif sebegitu sudah tentu nanti dapat membantu PH menghadapi PRN termasuk di Negeri Sembilan dalam keadaan yang lebih baik.

“Kita sedia maklum, PH menerusi Majlis Presiden telah bersetuju untuk berunding, mungkin ada kesepakatan di situ dan saya bagi pihak pimpinan negeri, mengalu-alukan apa juga keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan Majlis Presiden PH dalam memastikan PRN kali ini berjalan baik.

“Sekretariat Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan di peringkat Pusat untuk berunding tetapi di peringkat negeri ia (perbincangan) belum lagi dibuat (bersama Barisan Nasional),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Khatam Al-Quran Perdana Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2023 di Masjid Dato’ Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH baru-baru ini mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Menara Dato’ Onn di ibu negara.

Anwar memberitahu, mesyuarat tersebut telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya terutamanya dalam menghadapi PRN yang dijangka diadakan pada bila-bila masa selain dua jawatankuasa lain termasuk Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Di Negeri Sembilan, daripada 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 20 kerusi telah dimenangi oleh PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 manakala 16 lagi kerusi dimenangi oleh BN.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berharap Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes dakwaan penyelewengan wang zakat di Negeri Sembilan.

“MAINS saya harap berikan kerjasama yang baik kepada pihak penyiasat dan saya harap kerjasama ini diteruskan, tanpa ada menyembunyikan apa-apa, beri apa yang diminta, tanggungjawab MAINS untuk pastikan siasatan berjalan dengan baik,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kes dakwaan penyelewengan wang zakat yang dikaitkan dengan MAINS dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

Katanya, keterangan-keterangan yang ada berkaitan kes itu akan dilihat dan kertas siasatan kini dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN