PRN: Amanah yakin pertahan tiga kerusi di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

PRN: Amanah yakin pertahan tiga kerusi di Negeri Sembilan

MK IBRAHIM ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi ketika ini di Negeri Sembilan mampu dipertahankan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tiga kerusi tersebut adalah Lenggeng di Parlimen Seremban; Paroi di Parlimen Rembau dan Klawang di Parlimen Jelebu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, walaupun kiraan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan ketiga-tiga kerusi berkenaan akan terlepas kepada pihak lawan, beliau tetap optimis situasinya akan berbeza pada PRN nanti.

“Di Lenggeng, 80 peratus pengundi di situ adalah orang Melayu dan saya akui ada sentimen penolakan calon DAP bagi kerusi Parlimen Seremban di situ, walaupun Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh Anthony Loke Siew Fook menang di Seremban, tetapi beliau tewas 900 undi di Lenggeng.

“Bagi kerusi Paroi pula sudah tentu faktor calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau, iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang, merupakan nama besar dan calon popular dalam kalangan masyarakat di situ, begitu juga di DUN Klawang yang terletak di Parlimen Jelebu apabila calon BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias menang dengan selesa.

“Sebenarnya jika dikira bukan hanya tiga kerusi itu, tujuh kerusi lain di mana wakil Amanah menjadi penyelaras DUN juga menyaksikan ia akan terlepas. Tetapi saya yakin keadaannya berbeza semasa PRN kerana calon yang akan ditampilkan oleh PH yang akan diwakili oleh Amanah merupakan calon yang sudah memberikan khidmat yang baik kepada rakyat sepanjang lima tahun ini,” katanya.

Menurut MK Ibrahim, dalam keadaan terdapatnya hubungan kerjasama di antara PH dan BN ketika ini di peringkat Kerajaan Pusat, sudah tentu keadaan pada PRN nanti akan berubah.

“Mungkin pengagihan kerusi di antara PH dan BN itu akan menyaksikan parti yang menang kerusi itu sebelum ini kekal ditandingi oleh parti itu dan Amanah tentunya di tiga kerusi tadi.

“Tetapi Amanah melihat jika dapat diberikan peluang untuk bertanding di dua buah kerusi lagi iaitu kerusi yang PH kalah dengan jumlah kecil dan BN juga dilihat sukar untuk memenangi kerusi tersebut,” katanya.

Ditanya persediaan parti itu bagi menghadapi PRN kelak, beliau memaklumkan Amanah kini sedang mempersiap jentera pilihan raya selain menjalankan kempen supaya pengundi-pengundi dapat pulang menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN nanti.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, PH memenangi 20 kerusi daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan di Negeri Sembilan sekali gus membentuk kerajaan negeri. Baki 16 kerusi lagi pula dimenangi oleh BN.-UTUSAN.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.