PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka menguasai Selangor dan Negeri Sembilan jika bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bertanding menggunakan tiket parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Akmal berkata, kehadiran Khairy mampu mewujudkan satu gelombang baharu kepada anak muda khususnya pengundi atas pagar bagi memberikan undi kepada PN dan berupaya memberi kemenangan merampas kedua-dua negeri daripada Pakatan Harapan (PH).
Jelas Ahli Parlimen Machang itu, pihaknya bersedia memberikan laluan kepada Khairy membabitkan mana-mana satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau Negeri Sembilan jika beliau berminat untuk menyertai Bersatu dalam masa terdekat.
“Kalau UMNO anggap Khairy sebagai beban, tetapi Bersatu kita anggap dia satu kelebihan yang mampu mencetuskan gelombang baharu dalam politik Malaysia. Jadi kita sedia terima Khairy, kalau dia sedia terima lamaran kita.
“Tawaran masuk Bersatu? Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah awal-awal mengalukan jika Khairy mahu sertai parti kita. Tetapi tidak tahu bagi pihak Khairy sendiri, itu kena tanya beliau,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Khairy dilaporkan mempertimbangkan untuk bertanding di DUN Selangor dan ditawarkan menjadi Menteri Besar sekiranya menang, bagaimanapun beliau tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran tersebut.
Ketika ditanya intipati pertemuan dengan Khairy baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal enggan mengulas mengenai perkara itu sebaliknya orang ramai boleh menilai sendiri kenyataan bekas Menteri Kesihatan berhubung tawaran bertanding DUN Selangor berkenaan.
Beliau menjelaskan dalam temuramah itu, Khairy memaklumkan terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai tawaran itu.
“Tetapi PN dan Bersatu sudah pasti bersedia berikan Khairy untuk bertanding sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan,” katanya.
Bagaimanapun Wan Ahmad Fayhsal menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa PN sudah ketandusan pemimpin kerana menerima orang luar seperti Khairy untuk berada dalam parti.
“Politik ini umpama perlawanan bola sepak, kita kena import pemain luar untuk menang. Begitu dengan Khairy, bagi UMNO dia sudah tidak berguna tetapi bagi PN amat berguna demi masa depan Malaysia,” katanya. – UTUSAN










