Pengusaha kuih resah, kos bahan mentah naik - Utusan Malaysia

Pengusaha kuih resah, kos bahan mentah naik

NORSAFARINA Ahmad menunjukkan kuih bangkit cheese yang telah siap untuk dipasarkan di bengkel perusahaannya di Kampung Pulai Sebatang, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pengusaha kuih-muih resah dengan kenaikan kos bahan sebagai persediaan menghadapi Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Bagaimanapun, mereka tetap meneruskan perusahaan masing-masing bagi memenuhi permintaan pelanggan termasuk pemborong yang telah membuat tempahan awal.

Seorang pengusaha, Norsafarina Ahmad, 30, mengakui mula menerima tempahan pada bulan lalu terutamanya daripada pemborong termasuk dari Singapura dan Tanjung Balai, Indonesia.

Katanya, sebagai pengusaha biskut bangkit cheese, bahan utama seperti tepung ubi telah naik daripada RM35 menjadi RM40 sekotak, namun terpaksa membelinya.

Selain itu, harga telur gred C yang sebelum ini hanya RM9 sepapan kini menjadi RM13 dan harga baharu itu membebankan pengusaha sepertinya.

“Pada hari biasa di luar musim perayaan, kami memerlukan 9,000 hingga 10,000 biji telur sebulan dan dijangka meningkat sekali ganda selepas ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Pulai Sebatang di sini.

Beliau yang turut menjual pelbagai jenis biskut berharap kerajaan dapat melihat kesan kenaikan harga bahan mentah menjelang musim perayaan termasuk kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, pengusaha bahulu gulung, Norhafiza Tanuri, 49, mengakui harga bahulunya terpaksa dinaikkan daripada RM10 menjadi RM12 sebatang bagi menampung kos pembuatan yang meningkat.

Biskut seperti kuih tat, dahlia, almond London juga mengalami kenaikan harga daripada RM30 menjadi RM35 sebalang disebabkan oleh kenaikan bahan mentah.

“Dahulu harga mentega satu tin (2.5 kilogram) ialah RM26, tetapi kini RM36, manakala mentega RM12 sebuku berbanding RM9 sebelum ini,” katanya yang menetap di Kampung Parit Abdul Rahman, Kayu Ara Pasong, di sini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN