Penggabungan Mass Comm, tiga fakulti masih buntu

Penggabungan Mass Comm, tiga fakulti masih buntu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLEMIK penggabungan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) bersama tiga fakulti lain iaitu Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta Pe­ngurusan Maklumat (FPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) masih menemui jalan buntu.

Walaupun Kolej Pengajian Perkomputerian Informatik dan Media (KPPIM) sudah dimuktamadkan, namun ramai menyifatkan penggabungannya dengan FKPM terutama alumni dan mahasiswa sebagai tidak relevan.

Masakan tidak, apabila penggabungan tersebut disifatkan jauh tersasar daripada bidang kepakaran dan pengkhususan, malah cubaan untuk mengaitkan perkomputeran, teknologi dengan pengajian komunikasi terlalu jauh untuk dikaitkan.

Malah, rata-rata pensyarah yang ditemui meluahkan pendapat menyebut, penggunaan teknologi dalam komunikasi tidak dinafikan. Namun, terma lebih tepat kepada situasi tersebut adalah mahasiswa atau alumni Mass Comm adalah pengguna kepada teknologi.

Justeru, jika dicadangkan mahasiswa Mass Comm mempunyai kelebihan sebagai dalam pengetahuan pengaturcaraan komputer atau membuat coding, langkah berkenaan menyebabkan pengajian komunikasi itu tidak dapat berkembang.

Selain itu, kajian-kajian yang dikatakan dibuat bagi membolehkan KPPIM diwujudkan, didakwa tidak menepati prosedur penyelidikan apabila latar belakang responden yang diperoleh tidak didedahkan.

Bahkan, selepas pertikai­an dibangkitkan, pengurusan UiTM didakwa baru memulakan langkah melaksanakan referendum serta libat urus bersama mahasiswa.

Malah, libat urus yang diadakan bersama mahasiswa pada minggu lalu dilihat sebagai gagal untuk meyakinkan mereka mengenai penggabungan tersebut apabila 98 peratus membantah penubuhan KPPIM.

Selain itu, langkah melaksa­nakan referendum dan libat urus turut dipertikai apabila semua tindakan sedemikian tidak dilakukan dalam penggabungan fakulti-fakulti lain.

Turut dipertikaikan apabila penggabungan kira-kira 20 fakulti itu didakwa hanya melibatkan kampus induk UiTM dan tidak meliputi kesemua kampus cawangannya di seluruh negara.

Namun, keputusan pembubaran semula KPPIM dengan mengasingkan Mass Comm tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat selepas Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UiTM kini digantung selepas pengerusinya dipendekkan tempoh perkhidmatan sehingga 10 Februari ini.

Ini kerana, difahamkan sebarang perubahan dasar akan dibawa kepada LPU sebelum keputusannya dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dilaksanakan dan diumum kepada agensi-agensi terlibat seperti pemberian biasiswa dan pinjaman pendidikan tinggi.

UiTM sewajarnya memberi nafas baharu kepada Mass Comm yang merupakan universiti pertama di negara ini menawarkan kursus pengajian komunikasi dan sebaran am sejak lebih 50 tahun lalu.

Malah, pengajian komunikasi di universiti tersebut sewajarnya dinaik taraf bukan sekadar menjadi tempat kelahiran graduan bidang itu, sebaliknya menjadi pusat rujukan nasional terhadap kepakaran dalam komunikasi strategik, perang saraf dan propaganda serta media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN