Pencarum KWSP jadi sasaran kredit komuniti

Pencarum KWSP jadi sasaran kredit komuniti

CARUMAN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi sasaran syarikat kredit komuniti yang menawarkan pinjaman mudah bersandarkan jumlah simpanan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penca­rum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berusia hampir 50 tahun dan 55 tahun kini menjadi sasaran syarikat pemberi pinjaman wang yang mendakwa mempunyai lesen dikenali sebagai Kredit Komuniti untuk pinjaman mudah tanpa ansuran bulanan.

Kebanyakan syarikat pinjaman tersebut yang menggunakan nama yang ada unsur Islamik, didapati giat membuat promosi pinjaman tersebut dalam media-media sosial de­ngan tag ‘pinjam dahulu, bayar kemudian’.

Selain itu, syarikat terbabit juga meletakkan gambar dan nombor telefon wanita memakai tudung sebagai pentadbir akaun untuk menarik perhatian bakal peminjam.

HUBUNGI

Bagaimanapun, apabila war­­tawan Mingguan Malaysia meng­hubungi syarikat terbabit, seorang lelaki dipercayai bukan Melayu menjawab panggilan tersebut.

Seorang kakitangan swasta yang mahu dikenali Zamri, 54, dari Losong di sini berkata, dia pernah berurusan dengan sebuah syarikat pinjaman yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor.

Menurutnya, pinjaman yang ditawarkan itu bergantung kepada jumlah simpanan caruman KWSP peminjam.

Katanya, peminjam hanya perlu membuat bayaran penuh pinjaman termasuk faedah apabila apabila mencapai umur 55 tahun atau dari Akaun II apabila mencapai umur 50 tahun.

PROSES

“Syarikat juga mengenakan bayaran proses sebanyak RM500 dan saya hanya perlu menye­rahkan salinan penyata caruman KWSP dan kad pengenalan.

“Jumlah faedah pula adalah lima peratus daripada jumlah pinjaman pada setiap bulan sehingga tempoh pinjaman tersebut dijelaskan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Zamri memberitahu, dia membatalkan hasratnya untuk membuat pinjaman tersebut kerana bimbang syarikat tersebut adalah scammer.

“Pada awalnya, saya berhasrat membuat pinjaman kira-kira RM50,000 sebelum layak mengeluarkan caruman KWSP pada tahun depan,” ujarnya.

Seorang suri rumah, Rohani Hamdan, 48 pula berkata, dia nyaris mahu membuat pinjaman kerana syarat kelulusannya sangat mudah dan pinjaman akan diluluskan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, katanya, dia mula curiga apabila wanita yang dipercayai ejen tersebut tidak mahu mengangkat panggilan telefonnya dan hanya menegaskan mahu berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Wanita itu kata syarat pinjaman perlu ada sekurang-kurangnya RM150,000 dalam akaun KWSP dan mestilah boleh dikeluarkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang.

“Namun, memandangkan saya tidak begitu terdesak dan risau dengan sindiket penipuan yang berleluasa ketika ini, saya batalkan hasrat itu,’’ katanya.

FAEDAH

Katanya, syarat mudah dan segera lulus itu memang sangat menarik perhatian walaupun kadar faedah yang dikenakan sangat tinggi.

Di KANGAR, tinjauan Mingguan Malaysia di laman Facebook dan TikTok mendapati, aktiviti itu semakin aktif sejak kerajaan memutuskan untuk tidak lagi membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka.

Antara tarikan kepada pinjaman itu termasuk ‘kami bukan scammer’, peminjam yang dipercayai, tanpa bayaran pendahuluan dan lulus dalam tempoh dua jam tanpa menyatakan jumlah faedah yang dikenakan.

Seorang individu dikenali sebagai Terry berkata, sebuah syarikat pinjaman yang berpangkalan di Kepong, Kuala Lumpur yang dihubunginya memaklumkan, jika seseorang pencarum mempunyai baki akaun satu sebanyak RM100,000, dia layak meminjam antara lima hingga 10 peratus jumlah caruman itu.

“Bayaran semula kepada syarikat kredit komuniti boleh dilakukan sekiranya individu tersebut mencapai umur 55 tahun dan layak mengeluarkan caruman KWSP tersebut dengan kadar faedah sehingga lima peratus daripada jumlah pinjaman,” katanya.

TERPEDAYA

Sementara itu, Timbalan Pe­ngarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan promosi pinjaman seperti itu.

Katanya, meskipun tiada sebarang laporan mengenai penipuan itu setakat ini, masyarakat perlu berhati-hati dengan apa sahaja tawaran pinjaman khususnya dalam laman sosial.

“Masyarakat perlu menyemak terlebih dahulu dengan merujuk kepada agensi terlibat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

KWSP sebelum ini pernah mengingatkan masyarakat agar jangan terpedaya dengan tipu helah yang menggunakan nama agensi itu untuk kegunaan pinjaman peribadi.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga pernah mengeluarkan amaran terhadap syarikat Kredit Komuniti berlesen yang melakukan penipuan dengan mensasarkan pencarum KWSP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN