Pemuda PN kecam penggantungan Hanis Nadiah

Hanis sudah minta maaf, tindakan menggantung jejas masa depannya – Pemuda PN

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan penggantungan yang dikenakan ke atas Hanis Nadiah Onn dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa susulan memuat naik ciapan di Twitter berbaur perkauman berkenaan konsert artis dan komposer dari India, AR Rahman pada 28 Januari lalu.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu disifatkan sangat keras berbanding dengan kesalahan yang didakwa dilakukan oleh pemain berkenaan.

“Lagipun beliau (Hanis Nadiah) sendiri telah memohon maaf secara terbuka terhadap ciapan yang dibuatnya dan memadam komen tersebut. Jawatankuasa Siasatan sendiri mengakui bahawa Hanis memiliki perwatakan merendah diri serta berdisiplin tinggi sepanjang latihan dan kejohanan.

“Bahkan jurulatihnya sendiri menyatakan bahawa Hanis memiliki ramai rakan-rakan hoki di kalangan bangsa India dan mereka bergaul rapat tanpa masalah ekoran sifatnya yang mudah mesra dengan rakan sepasukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Fadhli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Belia dan Sukan PN memberitahu,  apa yang ditulis oleh pemain berkenaan langsung tidak mempunyai niat untuk membangkitkan elemen perkauman dan rasis seperti yang didakwa oleh sebahagian netizen.

Katanya, tindakan penggantungan itu akan menjejaskan masa depan pemain berkenaan dan sekaligus menjejaskan peluang skuad negara untuk meraih pingat di dalam Sukan SEA Kemboja 2023 nanti.

“Saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk campur tangan dalam isu ini dan penggantungan Hanis wajib ditarik balik. 

“Saya yakin Menteri akan bertindak bijaksana di dalam menangani isu ini,” ujarnya.

Utusan Online hari ini melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat hasil mesyuarat antara Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada 7 Februari lalu.

Hasil daripada siasatan dan penjelasan yang membabitkan Hanis dan jurulatih pasukan kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim, jawatankuasa siasatan MSN dan MHC merumuskan pemain berkenaan didapati bersalah atas ciapan dilakukannya itu.

Hasil siasatan yang dijalankan, Hanis mengakui telah memuatnaik komen ‘bau best la kat dalam tu’ beserta emoji ketawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert di akaun Instagramnya.

Pemain yang berasal dari Kluang, Johor itu bagaimanapun menegaskan dia tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman semasa memuatnaik kandungan tersebut yang dianggapnya sekadar jenaka malah ayat-ayat itu hanyalah merujuk kepada keadaan stadium yang dipenuhi puluhan ribu penonton.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.