Pemandu lori cuba rempuh orang awam berjaya ditahan - Utusan Malaysia

Pemandu lori cuba rempuh orang awam berjaya ditahan

TANGKAP layar video tular yang memaparkan seorang pemandu lori yang cuba merempuh orang awam dalam kejadian yang berlaku di Taman Permai 3, Seremban.

SEREMBAN: Polis berjaya menahan seorang pemandu lori yang dipercayai cuba merempuh orang awam di Jalan Kerapu, Taman Permai 3, Seremban dengan video kejadian tersebut turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, hasil daripada video yang diperoleh, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban telah berjaya mengesan dan menahan suspek iaitu seorang lelaki berusia 46 tahun pada pukul 8 malam semalam.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku pada 4 Februari lalu lebih kurang pukul 10 malam. Ia melibatkan sebuah lori jenis Toyota Dyna Hiace berwarna putih yang dipandu seorang lelaki 46 tahun seorang diri. 

“Dia cuba merempuh seorang penunggang motosikal dengan mengundurkan lori yang dipandunya ke arah penunggang motosikal tersebut berpunca daripada pertengkaran kecil dan rasa tidak puas hati.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan mengundur dan cuba merempuh penunggang motosikal terlibat di lokasi kejadian seperti yang dirakam di dalam video tular tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nanda, dalam kejadian tersebut tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Saringan awal air kencing juga telah dijalankan ke atas suspek dan mendapati keputusan adalah negatif. Permohonan reman akan dimohon untuk siasatan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam media melaporkan pihak polis sedang mengesan seorang pemandu lori yang dipercayai cuba merempuh orang awam dengan video kejadian berdurasi 1.03 minit tersebut tular di media sosial.-UTUSAN.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN