Pekerja Lynas mohon kerajaan letakkan syarat operasi lebih adil - Utusan Malaysia

Pekerja Lynas mohon kerajaan letakkan syarat operasi lebih adil

PERHIMPUNAN aman terdiri daripada pekerja kilang, pekerja kontrak, pihak kontraktor, dan wakil kilang hiliran bagi kilang memproses nadir bumi, Lynas di padang bola Balok di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pekerja kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng di sini mohon kerajaan berlaku adil berikutan penetapan syarat baharu bagi operasi kilang tersebut yang dipercayai boleh ‘membunuh’ kerjaya mereka.

Naib Presiden Modal Insan dan Komuniti, Lynas Malaysia Sdn. Bhd., Mimi Afzan Afza berkata, pihaknya cuma meminta agar kerajaan Persekutuan meletakkan syarat serupa seperti organisasi yang lebih kurang sama dengan kilang tersebut.

Menurutnya, keputusan kerajaan meletakkan syarat supaya Lynas memindahkan bahagian ‘cracking and leaching’ (CL) ke luar negara sebelum Julai ini dianggap sebagai tindakan ‘membunuh’ pekerja yang rata-ratanya menyara hidup dari pekerjaan itu dan merupakan ketua keluarga.

“Dengan ada syarat baru itu tidak hanya akan ‘membunuh’ kami malah menyekat peluang pekerjaan kepada ramai lagi rakyat tempatan.

“Rata-rata mereka membina kerjaya di Lynas bermula dari bawah dan kini sudah mempunyai kepakaran tahap tinggi dalam industri serta teknologi nadir bumi ini

“Dengan itu, kami hanya mahu kerajaan berlaku adil kepada kami (Lynas) seperti mana organisasi lain yang lebih kurang sama operasinya dengan kami,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Aman pekerja Lynas di padang bola Balok di sini semalam.

Perhimpunan tersebut dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk pekerja Lynas, pekerja kontrak, pihak kontraktor, dan wakil kilang hiliran yang rata-ratanya bergantung dengan kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Mimi berkata, setakat ini Lynas sentiasa mematuhi syarat dan undang-undang malah melalui kajian yang dibuat sejak dulu hingga sekarang, kilang itu selamat.

“Sekarang kami dalam proses membuat rayuan dengan pihak kerajaan terhadap keputusan tersebut. Kami mohon kerajaan mempertimbangkannya kerana operasi Lynas selama ini terbukti selamat sekali gus membantu meningkatkan ekonomi serta pembangunan kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan lesen operasi Lynas Malaysia Sdn. Bhd. boleh dibatalkan jika gagal mematuhi syarat yang melarang pengeluaran sisa radioaktif selepas Julai ini.

Ia susulan keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan residu Water Leach Purification (WLP) selepas Julai ini, aktiviti CL di Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia.

Sementara itu, bagi pekerja Lynas, Mohd. Badrul Hisyam Zulkifli, 40, berkata, diharap kerajaan dapat memberi lesen penuh kepada Lynas kerana dari segi data dan fakta, kilang terbabit tidak bahaya.

Katanya, pelbagai teknologi hari ini dibangunkan menggunakan produk daripada nadir bumi dan kepakaran anak tempatan dalam teknologi terbabit sepatutnya tidak disia-siakan.

“Dulu ada pihak yang mendakwa Australia tidak mahu membuka kilang nadir bumi ini di negara mereka disebabkan bahaya tetapi sekarang sudah terbukti dakwaan itu salah kerana negara terbabit sudah pun membuka kilang sama di sana.

“Kita sepatutnya berbangga kerana mempunyai kepakaran dalam teknologi nadir bumi apabila tiga anak tempatan termasuk saya telah dihantar ke Australia untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka dari segi proses,” katanya yang sudah bekerja selama 15 tahun di Lynas Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.