KUANTAN: Pekebun Durian Musang King Raub mengkaji semula sama ada akan mengemukakan rayuan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang sebelum ini.
Penasihat Save Musang King Alliance (Samka), Chow Yu Hui berkata, mewakili pekebun durian terbabit, mereka kecewa dengan keputusan itu, bagaimanapun menghormati keputusan mahkamah.
“Kami rasa kecewalah. Tapi kami akan kaji sama ada akan membuat rayuan atau tidak. Dan kami hendak tegaskan di sini bahawa kerajaan negeri sepatutnya pajakkan tanah durian kepada semua pekebun kerana mereka adalah orang tempatan.
“Kenapa perlu dipajakkan kepada syarikat besar yang tidak ada pengalaman menanam durian?,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak Permohonan Kebenaran Untuk Semakan Kehakiman yang difailkan 186 pekebun yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram di Raub.
Yu Hui yang juga Ahli Parlimen Raub berkata, semua pekebun durian yang membuat permohonan terbabit merupakan penduduk tempatan justeru merasakan pekebun terbabit berhak mendapatkan pajakan.
“Mereka walaupun tidak memiliki tanah itu, mereka berhak mendapat pajakan dan mereka telah menyumbang banyak kepada negara ini dan mengharumkan nama Musang King ke seluruh dunia.
“Sepatutnya kerajaan menghargai sumbangan mereka, tetapi sebaliknya yang berlaku,” ujarnya. – UTUSAN










