Isu Musang King: Semua pihak perlu hormati keputusan mahkamah - Sultan Pahang - Utusan Malaysia

Isu Musang King: Semua pihak perlu hormati keputusan mahkamah – Sultan Pahang

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang menolak permohonan pekebun durian Musang King di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang sebelum ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di Raub pada 24 April yang lalu.

“Beta berharap agar semua pihak menghormati keputusan mahkamah tersebut,” titah baginda ketika menyempurnakan Mesyuarat Pertama Penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Pada 24 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak Permohonan Kebenaran Untuk Semakan Kehakiman yang difailkan 186 pekebun yang mengusahakan tanaman durian Musang King secara haram di Raub.

Sebelum ini, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam Musang King di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau, seluas kira-kira 2,167 hektar.

Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos 2020 manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 September 2020 dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP sebagai responden.

Al-Sultan Abdullah turut menitahkan agar Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang terus proaktif dalam memperkasakan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan negeri.

Baginda turut berbangga dengan usaha kerajaan Pahang yang memandang serius dalam mengatasi ketirisan hasil negeri yang berpunca daripada kegiatan kecurian hasil bumi dan pencerobohan tanah kerajaan.

“Beta dimaklumkan pada 2023, sebanyak RM2.7 juta kompaun dan denda berjaya dikutip berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM1.5 juta malah terdapat 15 kes telah dibawa ke muka pengadilan.

“Malah beta dimaklumkan pentadbiran kerajaan beta pada hari ini tidak lagi mengenakan kompaun terhadap aktiviti pencerobohan tanah kerajaan, sebaliknya mengheret mereka yang didapati melakukan aktiviti tersebut terus ke mahkamah. Syabas dan tahniah atas tindakan tegas ini,” katanya.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri atas kejayaan mengangkat daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan yang berkuatkuasa pada november 2023 dan dimasyhurkan sebagai Lipis Geopark pada 18 Januari lalu.

“Beta berharap menerusi pengiktirafan Lipis Geopark ini, kerajaan beta dapat merancang untuk membentuk strategi baharu pelancongan negeri dan membina persepsi awam mengenai keunikan dan keprihatinan untuk menjaga warisan berharga yang ada di negeri ini,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN