Peguam tawar diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut - Utusan Malaysia

Peguam tawar diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut

HARIS SALLEH Hamzah menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut sesi 2023-2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Peguam, Haris Salleh Hamzah, 44, menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan parti itu untuk sesi 2023-2026.

Pencalonan Haris Salleh untuk bertanding jawatan itu sudah diduga dalam kalangan pemerhati politik di sini malah menepati hasrat sebahagian besar ahli UMNO supaya ada ‘ubi muda’ muncul mengambil alih kepemimpinan bahagian ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Haris Salleh yang juga Bendahari UMNO Jerantut sejak 2018 berkata, beliau menawarkan diri bertanding di jawatan tersebut berasaskan amalan demokrasi dalam UMNO.

“Pengalaman sebagai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda (2013-2018) dan menyaksikan sendiri tsunami kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu memberikan suntikan semangat dan roh supaya wajar perlu perubahan dalam UMNO bahagian ini.

“Pada masa yang sama, saya tetap berpendirian dan optimis UMNO Jerantut perlu diselia dan diterajui oleh generasi baharu yang lebih agresif dengan meletakkan kepentingan parti daripada segala-galanya,” katanya di sini.

Haris Salleh yang merupakan anak kelahiran Kampung Koi, Damak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, beliau terjun ke gelanggang merebut jawatan tertinggi dalam bahagian ini bukan untuk meminggirkan pemimpin yang terdahulu termasuk penyandangnya, Datuk Nazri Ngah dan rakan-rakan lain yang berpengalaman luas dalam arena politik di daerah ini.

“Saya tetap menghormati pemimpin yang terdahulu dan berpendapat pada pemilihan kali ini merupakan masa yang sesuai dan tepat untuk UMNO Jerantut diterajui oleh muka baharu yang berpendidikan, berpandangan jauh, istiqamah dan mempunyai roh perjuangan UMNO yang diwarisi oleh pejuang (UMNO) sebelum dan pasca merdeka,” katanya.

Selanjutnya beliau berkata, hasratnya juga didorong oleh rakannya dalam kalangan ahli UMNO termasuk sayap di bahagian ini yang memberikan harapan, cadangan dan sokongan untuk pemilihan UMNO Bahagian Jerantut tahun ini.

“Saya menghormati nasihat dan pandangan tersebut tanpa sedikit pun melupakan jasa, rasa hormat dan tawaduk kepada pemimpin sedia ada telah berkorban membina dan menyatukan UMNO bahagian ini apatah lagi dalam saat ketika menempuh fasa kekalahan PRU15 dan turut sama berduka.

“Hakikatnya, saya berpandangan bahawa perubahan perlu dilakukan berasaskan prinsip perjuangan terdahulu untuk meyakinkan kembali khususnya membangkitkan semangat dan jati diri golongan muda supaya menghayati roh perjuangan UMNO yang menjadi tunjang menegak agama Islam, bangsa Melayu dan negara tercinta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya