KUALA LUMPUR: Pas akan memberikan wang kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berikutan akaun parti gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) itu dibekukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Pas sentiasa menyokong Bersatu bagi mendepani PRN.
Kenyataan tersebut, sekali gus menafikan cakap-cakap bahawa Pas akan meninggalkan PN kerana Bersatu tidak lagi mempunyai wang untuk menggerakkan kempen-kempen dalam PRN nanti.
“Pas ini banyak duit. Kalau Bersatu tiada duit, maka kita beri mereka duit. Tetapi, tidak kiralah untuk apa-apa pun selepas ini, duit banyak sahaja yang akan diberikan oleh ahli-ahli Pas.
“Sebenarnya, Pas tidak perlukan satu jumlah yang besar pun. Macam saya sendiri bertanding pilihan raya, saya tidak keluar duit banyak, berapa ribu sahaja saya keluarkan. Selebihnya ahli-ahli Pas yang bayarkan. Jadi, kita mahu kata apa?” Soalnya ketika ditemui di bangunan Parlimen semalam.
Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan sudah membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.
AKAUN
Dakwaan itu dijangka memberi impak besar yang menjejaskan PN untuk menang dalam PRN jika akaun Bersatu dibekukan dalam tempoh yang lama sehingga PRN bermula.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu mempertahankan tindakan peserta yang membawa objek berbentuk senjata pada perarakan sempena program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2023 baru-baru ini.
Katanya, membawa objek seperti itu perkara lazim yang turut dilakukan oleh kaum-kaum lain dalam sesuatu perayaan atau acara tertentu.
“Orang India pun ada perarakan guna senjata sendiri, Cina pun ada. Orang Sabah dan Sarawak pula guna sumpit. UMNO pula dengan kerisnya. Itu biasa, jadi tidak perlu mahu besarkan isu ini.
“Memanglah keadaan ini (perarakan Pas) berbeza dengan zaman Nabi dahulu, cuma ia tiada masalah pun. Menteri agama kata ia memberi gambaran tidak baik kepada agama dan negara, maaf saya tidak setuju dengan beliau,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial gambar kira-kira beberapa peserta Himpit berjubah putih berarak sambil memegang objek berbentuk tombak dan perisai ketika penganjuran program itu.- UTUSAN










