Onn Hafiz lawan Zakaria, sahkan tak bertanding jawatan peringkat pusat - Utusan Malaysia

Onn Hafiz lawan Zakaria, sahkan tak bertanding jawatan peringkat pusat

Onn Hafiz Ghazi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan beliau tidak akan bertanding sebarang jawatan parti di peringkat pusat dalam pemilihan UMNO kali ini.

Walau bagaimanapun , beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.

“Kita sedia maklum bahawa sekarang ini adalah musim pemilihan parti UMNO. Saya telah berdoa meminta petunjuk, ilham dan hidayah daripada Allah SWT. 

“Saya juga telah berusaha mendapatkan pandangan pelbagai pihak, termasuk ahli keluarga, sahabat-sahabat, pemimpin-pemimpin, jentera akar umbi terutamanya di Bahagian Simpang Renggam tentang jawatan yang sesuai untuk saya menawarkan diri pada pemilihan penggal ini. 

 

“Oleh itu, saya tidak akan menawarkan diri untuk jawatan di peringkat pusat tetapi dengan rasa penuh rendah diri ingin menawarkan diri untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam bagi pemilihan penggal ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Onn Hafiz yang juga penyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pentadbiran di peringkat negeri.

“Saya telah membuat keputusan untuk terus memberi fokus khidmat bakti kepada negeri Johor dan Insya-Allah akan terus berusaha untuk mengukuhkan pentadbiran dan pembangunan negeri Johor.

“Saya akan memberi fokus terhadap pentadbiran dan pembangunan di kawasan saya dan seluruh negeri Johor. 

“Semoga keputusan ini diredai dan dirahmati Allah SWT. Saya merayu dan memohon sokongan daripada perwakilan UMNO Simpang Renggam,” katanya.

Dengan pengumuman tersebut, Onn Hafiz bakal menentang penyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah yang telah menerajui bahagian tersebut sejak 2018.

Sebelum ini ada juga gesaan daripada beberapa pihak supaya beliau bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.