KUALA PILAH: Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pada 19 Januari lalu ketika menunggu nombor giliran mengambil ubat bersama ibunya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini ditemui selamat di Kuala Lumpur.
Ibunya, Azizah Husin, 56, berkata, dia mengetahui penemuan anak tunggalnya itu, Rabaah Laily, 33, yang merupakan OKU pekak dan bisu pada 15 Februari lalu selepas dihubungi pihak polis.
Menurutnya, Rabaah dijumpai oleh orang ramai pada 31 Januari lepas di ibu negara sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut dan disebabkan keadaan kesihatannya ketika itu tidak stabil telah menyukarkan pihak berkuasa mendapatkan maklumat peribadi daripadanya.
“Apabila kesihatannya semakin baik selepas hampir dua minggu menerima rawatan di hospital itu, dia sudah boleh tulis nama sendiri semula dan membolehkan pihak berkuasa membuat semakan maklumat peribadi seterusnya berjaya menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 24 Januari lalu, media melaporkan polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita OKU pekak dan bisu serta lemah mental yang dilaporkan hilang di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, wanita yang dikenali sebagai Rabaah Laily, 34, itu, disedari hilang semasa dia dan ibunya berusia 56 tahun menunggu giliran untuk mengambil ubat di Bahagian Farmasi HTAN.
Katanya, wanita OKU berkenaan merupakan pesakit psikiatri dan menerima rawatan sejak berusia 15 tahun.
Sementara itu, Azizah bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang turut membantu mencari anaknya itu.-UTUSAN.