Mustahil PN takluk enam negeri

Mustahil PN takluk enam negeri

Penganalisis politik berpendapat pemimpin PN tidak boleh terlalu yakin dapat menawan enam negeri bersandarkan prestasi dalam PRUI5.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak boleh menjadikan gelombang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sandaran untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, PN masih perlu berusaha kerana kekuatannya bergantung kepada jentera Pas.

“Apa yang PN katakan hanya sebagai satu platform untuk menimbulkan harapan dan sokongan yang diterima pada PRU lepas.

“Bagi saya tiada apa kerana realitinya masih sukar walaupun ada gelombang PN pada PRU15. Biasanya momentum ini akan berubah kalau kerajaan berjaya buat kebaikan kepada rakyat maka kejayaan itu akan dilihat dalam PRN nanti.

“Bersatu bukanlah parti yang dapat sokongan padu daripada orang Melayu dan kekuatannya adalah jentera Pas yang mempunyai strategi tersusun. Mereka juga kerap membuat posting di media sosial,” katanya.

Menurut Mohd. Azzizuddin, PN tidak mempunyai sebarang kelebihan pada masa ini terutama sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung pada PRN nanti.

Sementara itu, Dr. Mazlan Ali dari Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan keyakinan beliau itu sebagai satu gerakan perang saraf.

“Ini adalah usaha menggunakan psikologi untuk mendapatkan kepercayaan rakyat tetapi pada masa ini PN masih mempunyai kesukaran untuk mendapatkan undi golongan bukan Melayu.

“Kita tidak menafikan di Se­langor ternyata greenwave berlaku dan dijangkakan ada pe­ngurangan kerusi untuk Dewan Undangan Negeri (DUN), namun masih susah untuk mereka te­rus merampas keseluruhannya,” ujarnya.

Pada PRU15 lalu, enam negeri yang tidak membubarkan DUN adalah Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor.

Dalam persidangan Parlimen kelmarin, Muhyiddin menyatakan keyakinannya untuk me­rampas negeri-negeri di bawah pemerintahan PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN