Mulut puaka? Saya cuma jalankan tanggungjawab

Mulut puaka? Saya cuma jalankan tanggungjawab

AWANG HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA SOALAN

MUKADIMAH
SIDANG Dewan Rakyat minggu lalu menarik perhatian seluruh negara apabila berlaku ketegangan antara Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim dan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa. Ahli Parlimen daripada Pas itu mendakwa tidak diundang dalam majlis penyerahan Hospital Pendang. Perkataan ‘tidak beradab’ dan ‘tiada akhlak’ terus dilontar terhadap Zalina, namun kenyataan tersebut sudah ditarik balik selepas ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor. Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN bertemu beliau di Parlimen semalam untuk mendapatkan pandangannya selepas dilabel sebagai ‘mulut puaka’.

 

UTUSAN: Datuk dikatakan sudah berubah menjadi terlalu lantang malah celupar di Dewan Rakyat, yang tidak mencerminkan imej Pas. Respons?
AWANG: Begini, saya tidak berniat untuk marah atau tegas tanpa alasan munasabah. Saya hanya mahu mainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan dan inklusif. Cuma, mungkin semasa berbahas itu secara tidak langsung kita telah bertukar karakter, sebab itu orang nampak kita seperti marah dan kasar.

Saya bertindak profesional dengan mengutamakan rakyat. Sebab itu, nada saya boleh berubah daripada nada suara yang rendah kepada nada yang tinggi semasa berbahas.

Saya melihat sikap kerajaan sekarang masih lagi berminda pembangkang, jadi, saya perlu menegur mengikut cara saya sendiri. Terkadang saya terkasar bahasa itu bukan niat mahu bergaduh pun, tetapi hanya mahu membetulkan keadaan.

Ada masa saya boleh berlembut, ada masa juga saya perlu bertegas.

Datuk telah menarik balik kenyataan menuduh Dr. Zaliha ‘tidak beradab’ dan ‘tidak berakhlak’. Boleh jelaskan apa keadaan sebenarnya?

Saya kena sebut perkataan itu dalam niat saya mahu menegurnya. Beliau sebagai menteri, sudah tentu saya mengalu-alukan kedatangannya ke kawasan saya.

Tetapi sepatutnya, walaupun berbeza ideologi politik, kita mesti bersikap profesional. Beliau harus memaklumkan kepada wakil kerajaan negeri apabila menghadiri program di ne­geri ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Disebabkan beliau tidak berbuat demikian, jadi, saya berasa beliau telah mengabaikan ‘tuan rumah’ iaitu saya.

Bukanlah saya mahu diraikan tetapi, sekurang-kurangnya jemputlah saya juga untuk diberi penerangan juga. Saya wakil rakyat di sana, sudah tentu saya akan bertemu rakyat dan mereka pasti bertanya berkenaan operasi hospital itu sendiri.

Walau apapun, ia sudah berlaku. Anggaplah sahaja beliau masih baharu dilantik sebagai menteri dan tidak pernah terlibat dalam pentadbiran kerajaan. Cuma, sebagai pembangkang, saya perlu memerhati tindakannya untuk memperbaiki apa yang beliau belum ketahui.

Ada berhubung dengan Menteri Kesihatan?

Tiadalah. Tetapi, selepas kejadian itu, saya telah dijemput oleh pengarah hospital untuk diberi taklimat pada Ahad lalu tentang operasi hospital, penyakit apa yang ada dan lain-lain.

Datuk masih belum menjawab surat tuntutan (LOD) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang menuduh beliau berdendam lebih teruk daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan berpilih. Mengapa?

Saya serahkan perkara ini kepada peguam saya untuk uruskan. Hal ini tiada apa sangat. Saya santai sahaja. Sebagai ahli Parlimen pembangkang, saya berhak untuk mengkritik Perdana Menteri supaya jadi lebih baik, kalau beliau tidak boleh menerimanya, terserah.

Saya bukan orang besar pun untuk diambil tindakan, tapi, disebabkan hal macam ini secara tidak langsung saya sudah dapat publisiti percuma.

Apa pendapat Datuk tentang perarakan Pas menggunakan senjata di Terengganu?

Saya tidak suka guna perkataan itu, tetapi adalah replika. Ini bukan luar biasa, cuma kesempatan ini diambil oleh pihak tertentu. Biasalah, sebab Pas mahu tunjukkan perjuangan sebenar dalam Islam. Kalau peperangan dalam Islam, kaedahnya lain.

Kalau isu replika ini diguna untuk mainkan emosi orang Islam dengan melabel Pas ini rasis, sebenarnya, orang yang bangkitkan itulah yang rasis. Kita tidak pernah pun bangkitkan isu Chingay dan lain-lain perarakan. Mengapa perarakan Pas menjadi sasaran? Peluang ini diguna untuk memainkan emosi orang Melayu yang mana PN ketika ini sudah semakin berpengaruh,’’ kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN