PONTIAN: Program Menu Rahmah turut menarik minat Café Chef Wan di Pusat Perdagangan Pontian (Tambak) di sini, untuk bersama kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Pemiliknya, Nor Azwan Wahid, 43, berkata, Menu Rahmah ditawarkan di kafenya sejak minggu lalu yang menyediakan makan tengah hari, iaitu nasi berlauk ayam, sayur dan minuman pada harga RM5.
Katanya, setiap hari lauk ayam dimasak dengan resipi berbeza seperti masak kicap, sambal, kari, tom yam, sup dan masak kunyit.
“Walaupun kafe ini lebih memberi tumpuan terhadap masakan barat, ia tidak menghalang kami menyediakan Menu Rahmah.
“Kami juga menjual juadah masakan Melayu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang tidak gemar makanan barat,” katanya semalam.
Nor Azwan berkata, dia mendapatkan bahan mentah di Pasar Besar Pontian atau di pasar raya dan mengakui harga agak tinggi pada ketika ini.
“Bukan soal keuntungan apabila memperkenal Menu Rahmah tetapi sebagai amal jariah dan menyahut seruan kerajaan,” katanya.
Menceritakan pembukaan kafenya, Nor Azwan yang berpengalaman luas sebagai chef di beberapa restoran di Kuala Lumpur selama 23 tahun berkata, dia menjadi ‘mangsa’ pandemik Covid-19, apabila tempat kerjanya ditutup pada tahun 2020.
Dia kemudian membuka perniagaan menjual burger pada November 2020 sebelum berpindah ke Pontian tahun lalu.
“Saya memberanikan diri berhijrah dari Kuala Lumpur ke Pontian, seterusnya membuka Café Chef Wan pada Ogos tahun lalu dengan menyewa sebuah kedai berhampiran sebuah hotel di Tambak ini.
“Dengan wang simpanan serta pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM50,000, saya gunakan bagi membuat pengubahsuaian serta membeli peralatan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










