KUCHING: Keputusan kerajaan tidak membenarkan sekali lagi pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah langkah tepat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang juga pakar ekonomi, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, jika dibenarkan, dibimbangi majoriti pencarum berpendapatan rendah akan jatuh miskin pada masa hadapan.
“Bagi saya ia tidak wajar diberi kebenaran untuk pengeluaran tersebut dan ini kali keempat jika pengeluaran dibenarkan.
“Majoriti pencarum berpendapatan rendah akan jatuh miskin selepas bersara kerana caruman mereka semakin berkurangan dan majoriti ini pula merupakan golongan bumiputera,” katanya.
Jelas Madeline lagi, didapati majoriti (76%) pencarum bumiputera yang berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada hujung tahun 2022.
“Tahap simpanan penengah (median) untuk bumiputera telah jatuh daripada RM6,600 pada hujung tahun 2021 kepada RM4,700 pada hujung tahun 2022.
“Justeru itu, kerajaan tidak membenarkan pengeluaran tambahan kerana ia bakal menyebabkan kemerosotan simpanan persaraan, dan ramai pesara akan jatuh miskin selepas bersara,” tegasnya.
Madeline turut mendedahkan, median simpanan semua kaum ahli KWSP direkodkan alami penurunan sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM 16,600 pada 2019 kepada RM8,100 tahun 2020.
“Malah, data menunjukkan RM145 bilion daripada simpanan KWSP telah dikeluarkan oleh 8.1 juta ahlinya semasa pandemik Covid-19.
“Justeru itu, dalam pembentangan bajet 2023, kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya dengan menambahkan sumbangan Tunai Rahmah,” katanya. – UTUSAN










