Ladang Integrasi Tentera Darat bakal diperluaskan dengan aktiviti ternakan - Utusan Malaysia Ladang Integrasi Tentera Darat bakal diperluaskan dengan aktiviti ternakan

Ladang Integrasi Tentera Darat bakal diperluaskan dengan aktiviti ternakan

ZAMROSE Mohd. Zain merasmikan Ladang Integrasi Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Ladang Integrasi Tentera Darat yang kini sedang diusahakan dengan projek tanaman sayur-sayuran bakal diperluaskan dengan aktiviti ternakan seperti ayam dan ikan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, langkah itu adalah bagi mengurangkan beban sara hidup warga tentera apabila mereka dapat membeli sayur-sayuran dengan harga 30 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran.

Jelas beliau lagi, selain bertujuan menampung keperluan warga tentera, isteri serta anak-anak anggota tentera yang tinggal berdekatan kem juga boleh bekerja di ladang berkenaan serta mendapat bayaran setimpal.

“Seperti di sini, contohnya harga cili di pasaran sekitar RM30, tentera boleh beli RM20. Jadi kami rancang untuk perluaskan ke semua zon iaitu Utara, Tengah, Selatan serta Sabah dan Sarawak bagi memanfaatkan tanah-tanah yang ada di dalam kem untuk keperluan warga tentera darat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ladang Integrasi Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemungkinan terhadap persepsi orang awam terhadap tugas tentera susulan kewujudan ladang integrasi tersebut, Zamrose menegaskan tugas anggota tentera tetap sama.

“Tugas hakiki tentera tetap sama, cuma ini adalah pendekatan kami untuk mengurangkan beban sara hidup dengan harga sayur-sayuran lebih murah. Anak, isteri boleh bekerja dan tanah terbiar di kem dapat dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya lagi.

ZAMROSE Mohd. Zain (tiga dari kiri) melihat sayur segar yang dijual di Kiosk Tani Markas Garrison hasil Ladang Integrasi Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Ladang Integrasi Tentera Darat, Kem Syed Sirajuddin, Gemas merupakan projek kerjasama antara Tentera Darat Dan Desatera Sdn. Bhd. iaitu sebuah anak syarikat Kumpulan Brahim’s Dewina.

Lawatan tapak pertama dilakukan pada 10 November 2021 di Pusat Rehabilitasi Pemasyarakatan, Kem Syed Sirajuddin dan melibatkan tanah berkeluasan 30 hektar yang dirancang dan kemudiannya diserahkan kepada Tentera Darat Malaysia.

Ladang integrasi tersebut telah mula beroperasi dan memasuki fasa penanaman pada 15 Mei tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s Dewina, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, pihaknya hanya mampu menggunakan sekitar 50 peratus sahaja daripada jumlah tanah bagi tujuan ladang integrasi dengan pulangan sekitar RM25,000 sehingga RM35,000.

“Sekiranya kesemua tanah dimanfaatkan, jumlah pulangan dianggarkan sekitar RM50,000 hingga RM60,000 sebulan. Hasil tanaman ini akan dipasarkan di Kiosk Tani Markas Garrison pada harga jauh lebih rendah dari pasaran,” katanya.

Menurutnya lagi, jika perancangan untuk dilaksanakan dengan projek ternakan pula, pihaknya boleh memanfaatkan najis ayam sebagai baja di ladang.

“Pelancaran ladang ini adalah bukti idea murni untuk mengurangkan risiko dan mempersiapkan diri menghadapi krisis atau kekurangan makanan pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya