DUNGUN: ‘Kasih ibu membawa ke syurga, kasih bapa sepanjang masa.’
Begitulah rutin seorang bapa di Felda Kerteh 6, dekat sini, yang cekal menjaga empat daripada lima anaknya orang kelainan upaya (OKU).
Jumahir Mahsun, 54, berkata, dia menggalas tanggungjawab menjaga empat anaknya berusia 18 hingga 27 tahun bersendirian selepas kematian isterinya, Rohayati Abdullah, 52, Isnin lalu.
Menurutnya, meskipun sebelum ini setiap hari dia menguruskan keempat-empat anak dan isterinya yang tidak dapat bergerak kerana lumpuh ekoran penyakit saraf tulang, namun, hidupnya kini sepi selepas pemergian isterinya.
“Sebelum isteri sakit enam tahun lalu, dia yang menjaga anak-anak kami yang sakit sejak lahir, sementara saya bekerja dengan mengambil upah memotong buah sawit. Namun, selepas dia (arwah Rohayati) sakit, saya terpaksa berhenti bekerja dan menjaga anak serta isteri yang sakit.
“Keempat-empat anak dan arwah isteri bukan sahaja tidak dapat berjalan, malah tidak dapat menguruskan diri sendiri termasuk makan dan memakai baju, ekoran saraf menyerang bahagian tulang kaki dan tangan, menyebabkan mereka perlu diberi perhatian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Kerteh 6, dekat sini semalam.
Bapa kepada lima anak itu berkata, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 27, langsung tidak dapat bergerak dan hanya terlantar di atas katil manakala anak kedua, Ahmad Arifin, 25, anak keempat, Ahmad Zainudin, 19, dan anak bongsunya Ahmad Budiman,18, tidak dapat duduk dengan sempurna berikutan masalah sendi tangan dan kaki mereka.
Jumahir berkata, meskipun kehilangan isterinya diibaratkan seperti patah sebelah sayap, namun dia nekad akan terus menjaga kesemua anaknya dengan baik.
“Walaupun kudrat saya tidak seberapa dan saya juga mengalami sakit lutut dan tulang belakang, namun saya perlu kuat untuk pastikan anak-anak saya dijaga sempurna.
“Namun, jauh di sudut hati, saya bimbang dan buntu memikirkan nasib anak saya, jika suatu hari nanti, saya tiada,” katanya yang bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,400 sebulan untuk menyara keluarganya.
Menurutnya, dia dibantu anak perempuan tunggalnya, Nor Hanisa, 22, yang menuntut di Universiti Kuala Lumpur, setiap kali cuti semesternya.
Mereka yang ingin membantu keluarga Jumahir boleh menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Malaysia, Nor Hanisa iaitu 11116 – 41 – 00000946 – 1 atau menghubungi talian 01117972620.- UTUSAN










