KPM seperti tiada pelan ‘B’

KPM seperti tiada pelan ‘B’

KPM disaran mengadakan sistem sokongan jika idMe mengalami kadar trafik yang terlalu tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permasalahan dihadapi guru-guru dalam penggunaan sistem Pengurusan Identiti (idMe) Kementerian Pen­­­­didikan (KPM) tidak pernah selesai akibat ketiadaan pelan ‘B’ sebagai sokongan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, permasalahan seperti idMe bukan kali pertama, namun tidak diambil sebagai ‘iktibar’ .

Beliau berkata, masalah itu perlu diselesaikan segera kerana memberi kesan kepada murid-murid yang mahu mendaftar ke tingkatan satu khususnya memasuki sekolah berasrama.

“Kita sudah boleh jangkakan daripada awal idMe boleh menyebabkan kesesakan sebab ini bukan pengalaman pertama dengan kerja KPM. Tidak sepatutnya jika kita sudah tahu tetapi enggan pula mengambil tindakan mengatasinya lebih awal.

“Saya lihat ini sebagai kelemahan dari segi perancangan pihak pengurusan, ini bukan masalah dengan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek). Pe­ngurusan seharusnya membuat pelan tindakan sekiranya berlaku masalah seperti pelan B tetapi itu tidak ada.

“Ini amat menjejaskan apabila markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) tidak boleh dimasukkan, ia akan menimbulkan masalah sampingan seperti urusan pendaftaran murid apabila keputusan terpaksa dikeluarkan lewat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.

Terdahulu, Kesatuan Per­khidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa KPM menangguhkan penggunaan idMe yang belum stabil sehingga didakwa menyusahkan guru-guru untuk melaksanakannya.

Guru didakwa ‘letih’ me­layani karenah idMe ketika memasukkan data pelajar ke­rana ada yang dapat mengakses tetapi tidak dapat mengisi data dan ada pula yang berjaya tetapi maklumat tersebut hilang lalu perlu memulakan rutin dari awal.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, idMe belum sesuai digunakan untuk guru membuat pengisian mar­kah UASA.

Katanya, guru-guru mula rasa terbeban kerana capaian trafik yang tinggi berikutan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, UASA tidak seharus­nya dijadikan sebagai berpusat, sedangkan ia berada bawah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) iaitu urusan di peringkat sekolah.

Katanya, KPM sepatutnya ti­dak perlu mewujudkan sebuah sistem di peringkat pusat, hanya cukup dengan guru sahaja memberi markah dan data diperoleh dihantar seperti biasa ke Pejabat Pendidikan Daerah.

“Apabila sistem ini dipusatkan sedangkan sistem pelayan KPM tak mampu menanggung trafik yang banyak maka terjadinya situasi ini. Ini merupakan kesilapan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, guru tidak seharusnya dibebankan dengan tekanan disebabkan masalah teknikal sehingga menjejaskan tumpuan kepada murid.

“Sebaiknya kerajaan me­lakukan usaha untuk menyelesaikan perkara ini, iaitu tingkatkan bajet untuk kualiti internet dan pelayan dalam negara, bagi memudahkan urusan yang menggunakan teknologi tersebut.

“iGuru bersetuju dengan NUTP bahawa kualiti perlu dipertingkatkan, guru perlu mengisi pelbagai data meskipun ia tidak melibatkan semua guru tetapi jika ini juga tidak selesai maka beban guru juga tidak akan selesai,” ujarnya.

IdMe adalah sistem yang dibangunkan KPM bagi membolehkan warga pendidik meng­akses beberapa aplikasi yang ada untuk tujuan menyimpan rekod.

Sistem itu diakses secara tunggal melalui laman webnya.

Semua warga pendidik yang mengisi UASA dan PBD mesti melalui perisian berkenaan dengan syarat mereka perlu terlebih dahulu mendaftar masuk ke sistem berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN