Kos baik pulih infrastruktur terjejas banjir di Kelantan cecah RM172.3 juta

Kos baik pulih infrastruktur terjejas banjir di Kelantan cecah RM172.3 juta

AHMAD Yakob (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran e-Bencana Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kos membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir pada musim Monsun Timur Laut (MTL) di negeri dalam tempoh lebih dua tahun bermula 2021 sehingga tahun ini mencecah RM172.3 juta.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerosakan itu dikenalpasti melibatkan infrastruktur seperti jalan, jambatan, sistem saliran, pengairan, jeti dan cerun. 

Menurutnya, jumlah tersebut membabitkan kerugian berjumlah RM107 juta pada MTL 2021 dan anggaran kerugian RM65.3 juta bagi MTL tahun 2022 sehingga 7 Februari lalu.

“Ia merupakan jumlah yang dapat dikenalpasti setakat ini. Apabila maklumat dikemaskini selepas ini, angka tersebut mungkin meningkat.

“Sehubungan itu, pembangunan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana Kelantan) sangat penting bagi mengumpul maklumat awal bencana secara sistematik dan bersepadu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran e-Bencana Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan memberitahu, e-Bencana Kelantan yang dibangunkan dengan kos RM300,000 itu akan menjadi mekanisme pengurusan bencana yang lebih kemas dalam menentukan peranan dan tanggungjawab agnesi-agensi terlibat.

Katanya, sistem itu juga akan dapat membantu dalam mengelak berlaku pertindihan tugas dan kos mengurus bencana termasuk dalam aspek penyaluran bantuan.

“Ia juga merupakan satu usaha ke arah pemulihan dan mempersiapkan masyarakat kita dengan ilmu, maklumat dan persediaan menghadapi risiko bencana.

“Selain itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa merancang pembangunan dengan teratur seperti penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan saliran bersistematik,” katanya,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.