Koperal polis didakwa

Koperal polis didakwa seludup 29 migran

TERTUDUH Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin (dua kanan) diiring polis semasa tiba untuk perbicaraan di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat Koperal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjalankan kegiatan penyeludupan 29 orang migran warga Myanmar termasuk tujuh wanita pada bulan lalu. 

Tertuduh, Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran seramai 13 orang warga Myanmar termasuk enam wanita.

Perbuatan itu dilakukan olehnya di dalam sebuah van jenis Daihatsu Gran Max di hadapan Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan, Tunjong di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada 16 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Shaifful Amri dituduh menjalankan penyeludupan migran seramai 16 orang warga Myanmar termasuk seorang wanita di sebuah inap desa di Kampung Pintu Geng Hulu di sini kira-kira pukul 1.30 pagi pada tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26B(d) Akta Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) bagi kedua-dua pertuduhan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh selain menetapkan 22 Mac depan untuk prosiding deposisi iaitu keterangan migran direkodkan di hadapan hakim.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya