KUALA LUMPUR: Kedudukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak selamat sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menolak penjelasan diberikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, ini kerana sebelum ini terdapat laporan daripada ahli UMNO yang meminta RoS meneliti laporan persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, sekali gus pertubuhan berkenaan menggesa Setiausaha Agung UMNO untuk memberi penjelasan dalam masa 60 hari.
“Keputusan yang RoS lakukan untuk meminta penjelasan daripada Setiausaha Agung UMNO adalah kerana terdapat laporan daripada ahli parti yang meminta keputusan Perhimpunan Agung UMNO itu diteliti kembali. Maksudnya mereka meminta RoS untuk campur tangan wal
“Sekiranya Setiausaha Agung UMNO tidak dapat memberikan penjelasan sewajarnya, RoS boleh bertindak untuk memutuskan dua jawatan itu dipertandingkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan RoS memberi tempoh 60 hari kepada parti itu untuk menjelaskan berhubung aduan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan melanggar Perlembagaan.
ENGGAN
Mior Nor berkata, jika parti enggan mematuhi arahan RoS, UMNO boleh diharamkan seperti pada tahun 1986.
“Pada 1986, UMNO diharamkan kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966,” ujarnya lagi.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, RoS adalah pertubuhan yang memudahcara bagi menyelesaikan isu berbangkit dan tidak akan membuat keputusan secara drastik.
Jelasnya, RoS akan memberi masa kepada UMNO untuk memberi penjelasan atau parti itu boleh dipanggil untuk menjelas aduan ke atasnya.
“Ada dua pilihan, UMNO boleh menyatakan dalam kandungan yang dihantar secara bertulis untuk memberikan butiran lebih lanjut atau RoS juga boleh membuat perkara yang sama untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu mengapa dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.
“RoS akan memberi masa kepada UMNO sebelum keputusan dibuat, namun jika keputusan yang dibuat itu menolak penjelasan UMNO, sudah pasti kedudukan Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak selamat.
“Dua jawatan itu berkemungkinan boleh dipertandingkan dengan memberi masa untuk pemilihan bagi dua jawatan tertinggi itu selesai diadakan.
“Ini kerana pemilihan di peringkat cawangan dan pusat akan berjalan pada 11 dan 18 Mac ini, sudah pasti masa untuk adakan pemilihan bagi dua jawatan tertinggi itu tidak sempat, sedangkan tempoh yang RoS berikan kepada UMNO untuk beri penjelasan mengambil mengambil masa dua bulan,” kata beliau. – UTUSAN










