Kerjasama PH-BN: Ahli akar umbi belum dapat sesuaikan diri - Utusan Malaysia

Kerjasama PH-BN: Ahli akar umbi belum dapat sesuaikan diri

ANTHONY Loke Siew Fook sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Kali Ke-21 DAP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ahli-ahli DAP di peringkat akar umbi diakui masih belum dapat menyesuaikan diri dalam senario politik politik baharu di mana Pakatan Harapan (PH) kini menjalinkan kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam membentuk kerajaan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan tersebut bukan hanya berlaku kepada ahli akar umbi DAP malah ia juga berlaku dalam kalangan ahli PKR dan juga Parti Amanah Negara.

“Walaupun secara tradisinya kita lawan BN selama berpuluh tahun tetapi selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, kita telah pun membentuk satu persefahaman, untuk bentuk kerajaan perpaduan.

“Ini senario politik yang baharu, yang mesti kita belajar bagaimana mahu menyesuaikan diri. Saya tahu rakan-rakan di peringkat akar umbi mungkin belum biasa, belum sesuai tetapi proses untuk menyesuaikan diri dalam fasa politik ini perlu sampai di peringkat akar umbi.

“Ia mengambil masa kerana UMNO juga belum sesuai dengan kita, masing-masing perlu satu masa untuk memberikan penerangan kepada akar umbi masing-masing,” katanya kepada pemberita sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Tahunan Kali Ke-21 DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Siew Fook yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan menambah, walaupun kerjasama yang terbentuk ketika ini dilihat sedikit merumitkan tetapi ia merupakan naratif politik baharu yang perlu difahami setiap ahli.

“Hubungan (kerjasama) kita bukan hubungan terus antara parti tetapi gabungan antara gabungan parti iaitu PH bersama BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS), itu senario kita.

“Dalam parti masing-masing sudah tentu perlu mengambil sedikit masa walaupun agak rumit hubungan ini, tetapi ini adalah naratif politik baharu yang perlu kita sesuaikan diri.

“Apapun saya mahu tegaskan, ahli-ahli parti komponen dalam PH mesti bersatu hati, supaya blok kita kekal utuh dan kuat, ini merupakan satu pengajaran dan komitmen yang perlu kita tunjukkan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya