PETALING JAYA: Kawasan bencana gempa bumi di Turkiye ibarat zon perang dengan runtuhan bangunan manakala angka korban meningkat setiap hari.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, rakyat Malaysia, Nik Mohd. Dhiya’ Nik Mohd. Rosdi, 34, yang terselamat dalam kejadian yang meragut ribuan nyawa itu berkata, jalan darat yang menghubungkan negeri-negeri terlibat terputus hubungan apabila lebuh raya ditutup kepada orang awam kerana mengalami retakan serius melainkan laluan udara untuk menyelamatkan diri.
Malah katanya, hospital-hospital berdepan kesukaran memberikan rawatan kerana bekalan elektrik belum pulih manakala bangunan itu tidak selamat digunakan ekoran kebimbangan gempa berulang pada bila-bila masa, malah wujud rekahan akibat kesan gegaran.
Menurutnya, bandar Gaziantep antara lokasi paling teruk terjejas umpama medan perang dengan pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat.
“Angka terkorban dijangka meningkat kerana banyak mangsa yang maut ditemukan di bawah runtuhan kerana kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan di awal pagi apabila kebanyakan mangsa sedang tidur.
“Banyak bangunan sudah berusia 40 tahun, jadi runtuhan berlaku dengan cepat di samping berlaku dua gelombang susulan ketika gempa bumi kuat berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah kematian ekoran dua gempa bumi berukuran 7.5 dan 7.8 magnitud itu boleh melepasi lebih 20,000 orang setelah pasukan penyelamat menemukan lebih banyak mangsa dalam runtuhan bangunan.
Dalam pada itu, Nik Mohd. Dhiya’ berkata, mangsa terselamat kini mengalami trauma amat teruk dan mereka terpaksa berlindung sementara di kawasan lapang kerana gegaran masih berlaku sehingga kini.
Menceritakan keadaan tersebut, beliau menjelaskan, gegaran kecil telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan mangsa terselamat apabila mereka menjerit dan berteriak walaupun telah ditempatkan di kawasan selamat.
“Tidak kira jantina, lelaki atau perempuan, muda atau tua semua menjerit kerana trauma amat serius dengan gempa bumi kelmarin. Malah ada yang gelisah sehingga murung kerana memikirkan keadaan bakal berlaku pada masa akan datang.
“Malah tangan saya masih mengeletar sehingga kini kerana trauma gempa bumi ini. Oleh itu, di samping bantuan menyelamat, saya berpandangan bantuan psikologi amat diperlukan dan mengharapkan masyarakat dunia untuk melihat keperluan ini,” katanya. – UTUSAN










