Kawalan injap diubah punca gangguan bekalan di RKT  Kesedar Renok Baru

Kawalan injap diubah punca gangguan bekalan di RKT  Kesedar Renok Baru

SEORANG penduduk terpaksa menggunakan air tandak selepas bekalan air AKSB terputus di Kampung RKT Kesedar Renok Baru, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengganggu atau mengubah kawalan injap di beberapa kawasan menjadi salah satu punca berlakunya gangguan bekalan air di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru di sini.

Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) berkata, tindakan itu menyebabkan air tidak mengalir dengan sempurna ke kawasan berbukit termasuk rumah penduduk yang terlibat.

“Pada masa sama, kita (AKSB) mendapati kedudukan penempatan yang berada di kawasan hujung paip agihan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Limau Kasturi turut menjadi faktor kepada masalah gangguan itu.

“Tekanan air rendah dan bekalan tidak mencukupi turut dikenalpasti menjadi punca masalah air sehingga penduduk terpaksa menggunakan air tandak. Faktor bentuk muka bumi yang menyukarkan penghantaran bekalan (air) melalui lori tangki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

AKSB memberitahu, semua masalah itu hasil siasatan yang dijalankan oleh pihaknya di kawasan tersebut.

Katanya, susulan itu AKSB telah mengambil tindakan segera dengan membetulkan semula kedudukan injap yang diganggu bagi memastikan injap dan saliran air kembali kepada keadaan yang sepatutnya.

Ujarnya, beberapa tindakan juga akan diambil oleh AKSB bagi menangani isu ini di mana air valve di sepanjang jajaran paip akan diganti bagi mengurangkan masalah ‘air lock’.

“Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab akan dilaporkan kepada pihak berwajib dan boleh diambil tindakan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di bawah Seksyen 125 oleh pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan kira-kira 150 penduduk (RKT) Renok Baru di sini terpaksa menggunakan air tandak atau air bukit selepas bekalan air bersih Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) terputus sejak dua tahun lalu.

Dakwa penduduk, meter dan saluran paip air bersih yang disediakan AKSB ada di rumah mereka, namun perkhidmatan itu tidak berfungsi sepanjang tempoh tersebut sehingga mereka terpaksa membayar bil walaupun tidak menerima kemudahan air yang disediakan pihak berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya