AKSB tubuh panel siasat kebocoran maklumat

AKSB tubuh panel siasat kebocoran maklumat

AZAMI Mohd. Nor (dua dari kiri) diberikan penerangan mengenai kelengkapan digunakan untuk kerja penggantian paip AKSB di Pasir Tumbuh, Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sudah menubuhkan panel siasatan dalaman untuk menjalankan siasatan berkenaan penyebaran dokumen-dokumen sulit syarikat milik kerajaan negeri itu sehingga tular di media sosial kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor memaklumkan, setakat ini AKSB belum dapat mengesan individu-individu terbabit dalam penyebaran dokumen berkenaan.

Menurutnya, seboleh-bolehnya tidak mahu memperbesarkan perkara ini tetapi tindakan perlu diambil kerana ia melibatkan kebocoran dokumen sulit. 

“Jadi saya minta maaf dari awal sekiranya ada dalam kalangan kakitangan AKSB dikenakan tindakan selepas ini.

“Perkara ini melibatkan maruah kakitangan AKSB termasuk saya selaku pegerusi, timbalan saya, Abdul Rahman Yunus dan juga Pengurus Besar AKSB, Dr. Nazmi Ghazali Azmi,” katanya ketika ditemui media semasa melakukan tinjauan projek penggantian paip AKSB di Pasir Tumbuh, di sini hari ini.

Azami memberitahu, setakat ini hanya satu laporan polis dibuat oleh pihak AKSB berkaitan kebocoran serta penyebaran dokumen sulit kerajaan.

Katanya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

“Saya yakin perkara berkenaan tidak membabitkan keseluruhan kakitangan AKSB, namun sikap berjaga-jaga perlu diambil selepas kejadian itu

“Perkara tersebut mungkin dilakukan oleh satu atau dua individu sahaja, tetapi jika dokumen sulit boleh dibawa keluar, bermakna AKSB perlu menasihatkan semua kakitangan agar sentiasa patuh kepada majikan,” ujarnya.

Azami memberitahu, kakitangan AKSB yang tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat sepatutnya mengadakan perbincangan bersama-sama majikan dan tidak perlu menyebarkan dokumen sulit kepada orang luar.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tular satu salinan notis yang didakwa dikeluarkan AKSB mengenai pemberian Aidilfitri lalu di Facebook miliknya

Notis tersebut turut memaklumkan bahawa AKSB meluluskan pemberian sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah syarikat tersebut manakala semua kakitangan syarikat menerima bayaran RM200.

Selain itu, setiausaha syarikat AKSB pula didakwa menerima sagu hati sebanyak RM2,000.

Keadaan itu menyebabkan ramai yang mempertikaikan tindakan AKSB dengan memberikan sagu hati sempena Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan meskipun dilihat gagal menyalurkan bekalan air secara sempurna kepada seluruh rakyat negeri Kelantan.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya