Johor-Singapura teroka pelbagai bidang, tingkat kesalinghubungan

Johor-Singapura teroka pelbagai bidang, tingkat kesalinghubungan

ONN HAFIZ GHAZI bersalam dengan Dr. Vivian Balakrishnan dalam pertemuan di Singapura. sempena lawatan kerja beliau ke republik itu hari ini. Turut kelhatan Dr. Maliki Osman (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor dan Singapura bersetuju meneroka pelbagai bidang dan kaedah dalam meningkatkan lagi kesalinghubungan antara kedua-dua pihak, apatah lagi hampir 300,000 orang menggunakan Tambak Johor setiap hari.

Perkara tersebut dicapai dalam pertemuan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Maliki Osman merangkap Menteri Kedua Ehwal Luar Singapura di Kota Singa, hari ini.

“Sebagai jiran negara kita, Singapura memainkan peranan yang cukup signifikan dalam perkembangan ekonomi Johor.

“Saya terharu mendengar perkongsian kedua-dua menteri ini tentang bagaimana hubungan akrab antara kedua-dua negara yang kekal utuh, biarpun dalam tempoh mencabar seperti ketika dunia dilanda wabak Covid-19, sehinggalah apabila sempadan kedua-dua negara ini dibuka semula sepenuhnya,” katanya dalam hantaran terbaru menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Onn Hafiz kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura bermula semalam.

Rombongan beliau turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir.

Onn Hafiz berkata, pelbagai perkara telah dibincangkan, khususnya isu melibatkan hubungan dua hala antara Singapura dan Johor. 

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, termasuk AirTrunk, sebuah syarikat pusat data skala besar di Asia Pasifik dan Jepun serta syarikat Wilhelmsen, salah sebuah kumpulan maritim terkemuka di peringkat global. 

“Selain mereka, saya juga telah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari lain-lain negara. Insya-Allah, nilai potensi pelaburan yang boleh dicapai hasil pertemuan ini adalah antara RM10 bilion ke RM15 bilion.

“Selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk Bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

“Kesemua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain-pemain industri bertaraf global,” katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan Persekutuan komited menjadi pemudah cara dari segi penyediaan utiliti dan infrastruktur serta insentif cukai bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya